Anda di sini

Dua pencuri kerbau ditahan polis

DAGING kerbau yang ditemukan di dalam kenderaan suspek.
DAGING kerbau yang ditemukan di dalam kenderaan suspek.

TUARAN: Dua pencuri kerbau berjaya ditahan sepasukan polis ketika cuba melarikan diri di Kampung Laya-Laya, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata kejadian awal dikesan apabila anggota Unit Peronda (MPV) melihat suspek dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas rutin.

"Sebaik polis menghampiri kereta jenis sedan yang dinaiki, suspek segera memecut laju bagi mengelak ditahan anggota kita.

"Kedua-dua suspek masing-masing berumur 18 dan 28 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan beberapa minit kemudian," katanya.

Menurutnya ketika diperiksa anggota polis mengesan tompokan darah pada baju suspek sebelum menjalankan pemeriksaan lebih lanjut terhadap mereka.

"Polis kemudiannya menemukan sejumlah daging kerbau yang sudah dipotong dipercayai dicuri di kawasan berdekatan.

"Kedua-dua suspek ditahan dan daging kerbau dirampas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dzulbaharin berkata hasil siasatan mendapati suspek bergiat aktif pada waktu malam serta subuh dan hasil daging kerbau yang dicuri akan dijual ke pasar berdekatan termasuk Manggatal.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek.