Anda di sini

Bersama jadikan Sarawak pengeksport produk makanan

 Uggah (tengah) merakam gambar bersama yang lain selepas menyampaikan amanat pertanian kepada semua agensi di bawah kementeriannya semalam.
BERSAMA KAKITANGAN: Uggah (tengah) merakam gambar bersama yang lain selepas menyampaikan amanat pertanian kepada semua agensi di bawah kementeriannya semalam.

KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah telah mengenal pasti perancangan, hala tuju serta cara untuk menguruskan sumbernya bagi mencapai matlamat menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih produk makanan menjelang tahun 2030.

Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata apa yang diperlukan sekarang ialah untuk semua pihak yang terlibat bekerja dan melaksanakan perancangan-perancangan ini secara efektif dan tepat pada masanya.

“Kita bernasib baik kerana diberikan mandat, kepercayaan dan sokongan yang kuat oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Ketua Menteri telah memberikan kepercayaan kepada kita (kementerian) dengan peruntukan yang besar tahun ini untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik.

“Peranan kita adalah untuk memikul tanggungjawab ini bagi memastikan rakyat Sarawak akan maju dan berjaya,” katanya dalam amanatnya kepada semua agensi di bawah kementerian berkenaan di salah sebuah hotel di sini semalam.  

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, bagi mencapai matlamat tersebut, kementerian juga telah mengenal pasti industri utama yang menawarkan potensi komersial terbaik.

Pada ketika ini katanya, kementerian telah memilih beberapa industri pertanian yang akan dipromosikan dalam jangka masa segera.

Industri-industri ini katanya, termasuk tanaman komoditi seperti kelapa sawit, getah, lada dan sagu, tanaman makanan seperti nanas, durian, pisang, kelapa dan padi, industri berasaskan tani yang fokus kepada pemprosesan makanan, industri ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing serta industri perikanan seperti udang, jelawat, tilapia dan siakap.

Malah katanya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM286.9 juta untuk tujuan pertanian tahun ini yang akan disalurkan menerusi kementeriannya.

Peruntukan yang disalurkan kepada kementerian berkenaan akan digunakan bagi membiayai pelbagai aktiviti transformasi pertanian termasuk Dana Pemula Pertanian, Taman Agro, Projek Rakyat dan Projek Transformasi Sosioekonomi, jelasnya.

Dalam pada itu, Program Amanat Pertanian 2019 semalam merupakan julung kalinya diadakan oleh kementerian tersebut yang dihadiri 415 peserta daripada kementerian, Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Veterinar Sarawak, SALCRA, SLDB dan Persatuan Peladang Sarawak.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah, Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail dan Setiausaha Tetap Kementerian Datu Ik Pahon Joyik.