Anda di sini

Pengenalan logo meyakinkan GPS terus berjuang demi kesejahteraan rakyat

Advertisement
FATIMAH
FATIMAH

KUCHING: Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pengenalan secara rasmi logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam memberi keyakinan kepada parti itu meneruskan perjuangannya demi kesejahteraan rakyat dan negeri Sarawak.

Ini kerana menurutnya, ia bertindak sebagai faktor yang menyatukan keempat-empat parti komponen GPS iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratif Progresif (PDP) agar terus komited memperjuang serta melindungi hak-hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak.

“Melindungi hak-hak Sarawak seperti dalam MA63, Perlembagaaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri adalah salah satu agenda utama GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Memperkenalkan Logo dan lagu GPS yang disempurnakan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di ibu pejabat PBB di sini semalam.

Fatimah yang juga Ketua Wanita GPS berkata adalah menjadi tanggungjawab sayap Pemuda,Wanita dan badan induk setiap parti komponen GPS turun padang memperkenalkan logo serta visi GPS kepada rakyat khususnya di luar bandar.

“Rakyat di seluruh negeri khususnya di luar bandar mesti diberitahu mengena hala tuju GPS dan apa perjuangannya dan pada masa sama memperkenalkan logo GPS.

“Ini penting dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat akar umbi ke atas GPS,” katanya sambil menambah, Pergerakan Wanita PBB akan mengadakan mesyuarat pada 19 Januari ini dan antara agenda utama ialah membincangkan cara serta mekanisme terbaik untuk mendekati rakyat dengan lebih berkesan.

Menurutnya penyokong dan rakyat negeri ini sudah terlalu biasa dengan logo ‘dacing’ mewakili Barisan Nasional (BN).

“Sekarang kita sudah ada logo baharu, kita mesti menjelas dan menunjukkan logo baharu dan simbol GPS kepada akar umbi,” tegasnya.

DR SIM
DR SIM

Sementara itu Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata pengenalan logo GPS semalam merupakan hari bersejarah dalam politik Sarawak kerana selepas 55 tahun akhirnya gabungan parti-parti dari Sarawak ditubuhkan secara rasminya.

Beliau juga menyifatkan ia satu permulaan baharu kepada perjuangan lebih besar dan menentukan hala tuju negeri Sarawak.

“Selepas 55 tahun, rakyat Sarawak akhirnya bebas daripada (gabungan) Kuala Lumpur, kini ia gabungan parti Sarawak milik kita sendiri.

“Ini kerana hanya rakyat Sarawak mesti menentukan nasibnya dan lebih penting hanya rakyat Sarawak tahu bagaimana hendak berkongsi kekayaan Sarawak sesama mereka,” ujarnya.

Advertisement