Anda di sini

Ibu bapa mangsa bunuh gagal dapatkan hak jaga cucu

Advertisement

KUCHING: Ibu bapa kepada mangsa bunuh, mendiang Stephen Wong Jin Kui tidak dapat menahan kesedihan di mahkamah selepas cubaan mereka mendapatkan hak penjagaan cucu mereka gagal dan masih berpihak kepada isteri mangsa yang merupakan dalang kes pembunuhan tersebut, semalam.

Difahamkan kenak-kanak lelaki terbabit kini masih tinggal bersama keluarga terdekat isteri mangsa iaitu Ling Hang Tsar.

Hakim Mahkamah Tinggi, Ravithran N Paramaguru memutuskan kanak-kanak terbabit yang baharu berusia 10 tahun harus tinggal bersama ibu kepada Ling Hang Tsar dan ibu bapa Wong iaitu Law Boh Ing (ibu) serta suaminya Wong Tiew Ming hanya boleh berjumpa cucunya atas sebab yang munasabah.

Hakim berpendapat bahawa kanak-kanak terbabit sudah dijaga oleh keluarga Ling sebelum ini dan dikhuatiri akan memberi kesan negatif sekiranya hak jagaan diberikan kepada ibu bapa Wong.

Law berkata beliau kecewa dengan keputusan bahawa budak itu masih dikawal oleh tertuduh dan keluarganya, menurut peguam keluarga terbabit yang menjadi pemerhati bagi kes itu, Christina Teng.

Keluarga Wong telah memohon untuk penjagaan sepenuhnya ke atas kanak-kanak itu selepas akses dan kawalan dinafikan oleh tertuduh dan ibu bapanya ekoran kematian mangsa.

Kes itu dihambat oleh proses kes pembunuhan itu yang lama iaitu selama enam tahun.

Keluarga Wong terpaksa bertarung dengan tertuduh yang merupakan satu-satunya orang tua yang masih hidup untuk mendapatkan kuasa atau penjagaan ke atas kanak-kanak terbabit.

Keluarga Wong menegaskan kanak-kanak itu sudah hidup bersama mereka sejak lahir dan diambil oleh tertuduh dan ibunya tanpa notis selepas Wong, seorang pengurus cawangan bank HSBC, dibunuh.

Keluarga Ling didakwa memutuskan semua hubungan dengan keluarga Wong.

Keluarga Wong berkata mereka tidak ada pilihan kecuali untuk pergi ke mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas kanak-kanak terbabit.

Law berkata sebelum pembunuhan anaknya, anaknya telah menghias rumahnya dan merancang untuk pindah balik dan tinggal bersama mereka supaya Law dapat menjaga cucunya.

Sejak tertuduh disabit kesalahan atas tuduhan membunuh, semua akses kepada kanak-kanak itu bagi keluarga Wong dinafikan oleh tertuduh dan ibu bapa tertuduh.

Oleh sebab itu keluarga Wong memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas kanak-kanak tersebut.

“Selain itu datuk dan nenek sebelah bapa juga sudah berhijrah ke Kuching dan oleh kerana dia rapat dengan datuk dan nenek sebelah ibu, semua mereka mahu meluangkan masa bersama cucu lelaki tunggal mereka. Adalah salah bagi si pembunuh untuk mendapatkan manfaat dan hak penjagaan ke atas kanak-kanak itu yang merupakan satu motif bagi pembunuhan. Kanak-kanak itu juga merupakan saksi penting kepada pembunuhan bapanya tetapi tertuduh dan ibu bapanya menguasai budak itu dan kenyataan tidak pernah diperolehi,” kata Teng.

Kes rayuan pembunuhan akan didengar pada 18 Februari.

Ling dijatuhi hukuman gantung pada 27 Oktober 2017 selepas Hakim Mahkamah Tinggi Sibu Datuk Norcahaya Arshad mendapatinya bersalah bersubahat dalam pembunuhan suaminya tujuh tahun lalu.

Ling kini ditahan reman di Penjara Kuching sementara menunggu rayuan terhadap pensabitannya.

Tertuduh didakwa bersama Andrew Tiong King Guan di bawah Seksyen 109 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Ling dan Tiong dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ulu Sungai Merah kira-kira jam 1.30 pagi 14 Jun 2012.

Pesalah utama, Ling Hoe Ing, didakwa dan didapati bersalah di bawah tuduhan alternatif di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuhnya.

Hoe Ing mengaku bersalah atas tuduhan alternatif itu dan dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun pada 1 Oktober 2013.

Selepas Hoe Ing mengaku bersalah, mahkamah memberikan perlepasan kepada Tiong dan Ling tanpa pembebasan atas tuduhan bersubahat tetapi tuduhan itu dikenakan semula pada Februari 2015 selepas pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

Waran tangkap kemudian dikeluarkan terhadap Tiong selepas dia gagal hadir di mahkamah ketika tuduhan itu dikenakan semula.

Dia kini masih bebas dan keluarga Wong menawarkan ganjaran sebanyak RM50,000 bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

Advertisement