Anda di sini

Didik masyarakat kepelbagaian penggunaan minyak sawit

Advertisement

JASIN: Kementerian Industri Utama komited untuk mendidik masyarakat di negara ini mengenai manfaat kepelbagaian penggunaan minyak sawit dalam kehidupan seharian yang bukan terhad sebagai minyak untuk menggoreng makanan semata-mata.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak sawit utama di dunia, namun setakat ini hanya 70 peratus minyak sawit digunakan dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Justeru, katanya kerajaan akan menggiatkan lagi usaha dan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat terhadap kepentingan minyak sawit termasuk dalam aspek pemakanan, kesihatan dan sosioekonomi.

“Kita akan menjalankan satu program larian di dalam ladang kelapa sawit yang dijadual pada Februari depan yang mana kita turut mendapat permintaan daripada golongan kurang upaya untuk turut serta.

“Selain itu, kita akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memberi pendedahan dan menarik penyertaan murid sekolah agar golongan tersebut tahu dan sayangi minyak sawit,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Kemendor dekat sini semalam.

Shamsul Iskandar pada 1 Jan lepas dilapor sebagai berkata rakyat di negara ini disaran menggunakan minyak sawit dalam pelbagai kehidupan seharian sebagai sokongan membantu kerajaan meningkatkan harga komoditi tersebut, namun kenyataan itu dipersenda pengguna media sosial yang mengatakan mereka telah menggunakan minyak tersebut untuk menggoreng makanan.

Beliau dalam kenyataan sama turut menyebut kerajaan meneroka pelbagai kegunaan baharu minyak sawit, antaranya pelaksanaan program Biodiesel B10 dan mencari pasaran baharu untuk meningkatkan permintaan komoditi itu.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, pihaknya turut menyasarkan strategi khas terhadap Melaka yang merupakan negeri pelancongan berhubung kempen ‘Sayangi Minyak Sawitku’ yang dilancarkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim, kelmarin.

“Hasrat ini bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka 2019 yang mana apabila pelancong datang berkunjung, mereka akan membawa maklumat dan manfaat yang diperoleh mengenai kepelbagaian minyak sawit sekali gus ‘membunuh’ kempen ‘No Palm Oil’ yang dilancarkan oleh pihak antisawit di negara Eropah.

“Kempen tersebut (No Palm Oil) sedang dilancarkan besar-besaran, oleh itu kita akan cuba menangani perkara ini dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran 100 peratus penggunaan minyak sawit dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. — Bernama

Advertisement