Anda di sini

Darell mahu ambil peluang perang perdagangan AS-China

Advertisement
 Darell (tiga kiri) bersama Aminuddin (tiga kanan) kelihatan ceria selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelaras Industri antara MITI dan kerajaan negeri di Seremban, semalam. — Gambar Bernama
WAJAH KEGEMBIRAAN: Darell (tiga kiri) bersama Aminuddin (tiga kanan) kelihatan ceria selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelaras Industri antara MITI dan kerajaan negeri di Seremban, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking mahu negara mengambil peluang daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China untuk menarik pelabur membuka pangkalan di Malaysia.

Menurutnya, susulan perang perdagangan antara Washington dan Beijing, banyak syarikat telah memindahkan operasi mereka dan melihat Malaysia sebagai destinasi baharu bagi pelaburan mereka.

“Pada masa yang sama, terdapat industri yang keluar dari Malaysia untuk pergi ke negara lain seperti China, tetapi kembali semula ke negara (Malaysia) dan ini adalah petanda baik. Bila mereka datang, kita perlu memastikan mereka dijaga dengan baik dan kita perlu permudahkan untuk mereka, sama ada pelabur baharu atau yang kembali semula,” katanya di sini, kelmarin.

Menteri itu ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan kerajaan negeri. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Kementerian, katanya telah menerima banyak pertanyaan daripada para pelabur yang mahu kembali semula ke Malaysia, tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

“Dunia berkisar tentang persaingan antara satu sama lain dan persaingan mengenai apa yang kita bawa masuk dan bagaimana kita bawa masuk, tetapi kita juga perlu memilih jenis industri yang kita mahu bawa masuk (ke Malaysia),” katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kata Darell, akan membantu kerajaan negeri mempromosikan Lembah Visi Malaysia 2.0 sebagai sebahagian kempen kementerian untuk menarik pelabur asing yang berpotensi. — Bernama

Advertisement