Anda di sini

Anak pengarah direman untuk siasatan berhubung terima tender

 Anak pengarah di jabatan kerajaan Pulau Pinang dibawa ke Mahkamah Majistret oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapat perintah reman bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat dengan bapanya untuk mendapatkan tender. — Gambar Bernama
HADAPI PERTUDUHAN: Anak pengarah di jabatan kerajaan Pulau Pinang dibawa ke Mahkamah Majistret oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapat perintah reman bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat dengan bapanya untuk mendapatkan tender. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Anak seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan di sini semalam direman selama enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki bersubahat dengan bapanya dengan mencadangkan syarikat miliknya untuk diberikan tender bernilai RM45,472.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret George Town Muna Maria Azmi selepas mendengar permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap lelaki berumur 27 tahun yang kini adalah eksekutif di sebuah agensi Kerajaan Negeri Perak.

Lelaki itu, yang juga pemilik sebuah syarikat, disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Eksekutif berkenaan ditahan di pejabatnya di Perak pada jam 10.30 pagi, semalam selepas disyaki mencadangkan sendiri syarikat milik beliau untuk diberikan tender bagi satu projek sistem kelas tabika di sini kepada jawatankuasa penilaian sebutharga untuk projek berkenaan.

Semalam bapa lelaki itu yang berusia 58 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung aduan terhadapnya kerana menggunakan jawatannya untuk membolehkan syarikat milik anaknya memperoleh tender berkenaan. — Bernama