Anda di sini

Platform ASSIST diperluas untuk selesai isu perdagangan ASEAN

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyelesaian ASEAN bagi Pelaburan, Perkhidmatan dan Perdagangan (ASSIST), platform untuk firma berpangkalan di ASEAN membuat aduan atau berhubung dengan kerajaan di rantau ini akan diperluas untuk menyelesaikan sebarang isu dalam perkhidmatan perdagangan dan pelaburan berkaitan perdagangan pada pertengahan 2019 dan 2020.

ASSIST yang dilancarkan pada 2016 ketika ini bersedia menangani isu-isu rentas sempadan mengenai dagangan barangan dengan kerjasama Sokongan Bersepadu Serantau ASEAN oleh Kesatuan Eropah (ARISE Plus).

Sehubungan itu, Pakar Undang-Undang Perdagangan dan Makanan Antarabangsa, Paolo R. Vergano berkata syarikat perlu memanfaatkan kemudahan itu untuk menghentikan tindakan bukan tarif dan sekatan yang tidak adil di samping memudahkan aliran barangan, perkhidmatan dan modal yang lebih bebas di seluruh rantau ini.

Beliau berkata setiap aduan yang diterima akan diteliti Sekretariat ASEAN yang akan berhubung dengan badan-badan kebangsaan untuk menangani aduan tersebut dan menyelesaikannya dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Namun, bagi kes aduan yang ditolak, ARISE Plus akan meminta kerajaan yang berkaitan untuk menjustifikasi aduan itu.

“Ketika ASEAN memberi pelbagai komitmen ke arah ketelusan yang lebih baik melalui pengoperasian penuh Repositori Perdagangan ASEAN dan berkaitan Rangkaian Repositori Perdagangan Kebangsaan, bagaimanapun proses ini agak perlahan dan pada kepesatan yang sama dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Sektor korporat ASEAN perlu menggalakkan kerajaan mematuhi sepenuhnya tanggung jawab tersebut yang menjadi asas kepada integrasi serantau dan pembangunan ekonomi,” katanya dalam taklimat anjuran Institut Penyelidikan CIMB ASEAN yang dipengerusikan Pengerusinya Tan Sri Dr Munir Majid.

Sehingga kini, tiga kes telah diterima berkaitan dagangan barangan antara negara ASEAN dengan satu aduan telah ditangani dan melalui prosedur sepenuhnya.

Vergano berkata kebimbangan terhadap tindak balas aduan kerajaan berhubung kurangnya kesedaran dan halangan bahasa merupakan antara alasan yang dijangka menyebabkan platform tersebut kurang digunakan.

Sehubungan itu, ARISE Plus sedang bekerjasama dengan negara anggota ASEAN untuk meningkatkan ciri-ciri ketanpanamaan platform tersebut supaya pengadu tidak bimbang mengenai tindak balas yang mungkin berlaku dan sampai kepada lebih banyak entiti sektor swasta.

ARISE Plus telah membangunkan kelas perbincangan khusus bersama kes simulasi di laman webnya untuk membantu syarikat memahami sistem tersebut. — Bernama

Advertisement