Anda di sini

Pesara mati tertembak

Advertisement
 Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
SIASAT: Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

KOTA SAMARAHAN: Seorang pesara tentera sempat mengajak anak lelakinya pergi berburu sebelum ditemui mati dipercayai tertembak dirinya berdekatan Kampung Plaie di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata, mangsa Hereng Pili, 44, ditemui penduduk kampung sekitar jam 11.15 malam di kawasan jalan berbatu iaitu kira-kira 30 meter dari jalan utama.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di sisi motosikalnya dengan berlumuran darah di bahagian kepala.

“Seorang anak lelaki mangsa memberitahu sekitar jam 9 malam dia telah diajak oleh bapanya (mangsa) untuk berburu, namun dia enggan mengikutinya sehingga dia dimaklumkan oleh penduduk kampung sekitar jam 11.15 malam mengenai kejadian yang telah menimpa bapanya.

“Mangsa ditemui penduduk kampung yang pada mulanya hairan melihat lampu (motosikal) berkelip-kelip di kawasan jalan berbatu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Difahamkan laporan polis berhubung kejadian telah dibuat selepas itu dan siasatan di tempat kejadian turut menemui selaras senapang patah dipercayai milik mangsa.

“Siasatan di tempat kejadian turut menemui selaras senapang patah berisi kelongsong peluru yang didapati terdapat kesan ketuk ‘Firing Pin’.

“Mangsa dipercayai tertembak dirinya dari jarak dekat berdasarkan kesan kecederaan dan tompokan darah yang ditemui pada tubuhnya,” kata Lee.

Tambahnya, terdapat kesan peluru di sebelah kiri leher dan bahagian bawah telinga kiri.

Anggota paramedik yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi mendapati kes menjurus kepada kemalangan tertembak diri sendiri.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” kata Lee.

  • oleh
  • Advertisement