Anda di sini

Isteri dan anak-anak hanyut disangka mimpi

Advertisement
 Sebuah jentera digunakan untuk membersihkan laluan ekoran laluan di kecamatan (Sumur) dihalang oleh pokok tumbang, batu-bata serta lumpur yang dibawa oleh arus tsunami dari laut. — Gambar Bernama
KUASA ALAM: Sebuah jentera digunakan untuk membersihkan laluan ekoran laluan di kecamatan (Sumur) dihalang oleh pokok tumbang, batu-bata serta lumpur yang dibawa oleh arus tsunami dari laut. — Gambar Bernama

SAYA, isteri dan anak-anak dihanyutkan ombak besar ketika kami semua sedang tidur, pada mulanya saya menyangkakan mimpi rupanya tidak,” kata Dasep, seorang mangsa tsunami Selat Sunda, Banten, Indonesia.

Dalam bencana itu, Dasep yang berusia 31 tahun kehilangan anak perempuannya berusia tiga tahun dan bayi lelaki berusia 22 hari.

“Dua hari sebelum kejadian (bencana tsunami), isteri saya (Nur) berusia 27 tahun, kerap mengajak saya untuk pulang ke rumah kedua-dua ibu bapanya di Citakil.

“Ini berikutan ibu bapa kepada isteri saya berasa tidak sedap hati. Saya bukan tidak mahu pulang ke sana tetapi masih ada kerja yang perlu saya selesaikan,” katanya kepada ketika ditemui Bernama di wilayah Sumur di Banten.

Menurut Dasep, sebelum kejadian, beliau dan keluarganya yang sedang lena tidur kedengaran bunyi seperti pantai ‘dipukul’ kuat tetapi dia tidak mengendahkannya.

“Sedang lena tidur, tiba-tiba katil saya terapung dan naik perlahan-lahan, saya berasa semakin dekat dengan siling rumah.

“Ketika itu saya ingatkan sedang bermimpi tetapi sangkaan saya meleset apabila ombak besar membadai rumah saya sehingga roboh serta dihanyutkan sejauh tiga kilometer,” katanya.

 Segelintir mangsa tsunami Selat Sunda berkumpul di posko sementara menunggu bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh pihak sukarelawan. — Gambar Bernama
SELAMAT: Segelintir mangsa tsunami Selat Sunda berkumpul di posko sementara menunggu bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh pihak sukarelawan. — Gambar Bernama

Dasep berkata, ketika itu isteri dan anak-anaknya dihanyutkan arus kuat serta tidak sempat untuk menyelamatkan mereka.

Menurut Dasep, isterinya ditemui keesokannya manakala dua anaknya ditemukan meninggal dunia.

“Sewaktu pertemuan kami, saya sedang membuat salinan sijil kematian anak-anak saya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Rumah saya hancur, anak-anak meninggal dunia. Tinggal saya dan isteri. Salinan sijil kematian ini akan saya serahkan kepada pemerintah untuk mendapatkan bantuan meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Dasep mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada sukarelawan Global Peace Missoon yang memberi bantuan keperluan asas kepadanya.

“Terima kasih abang, saya tidak sangka sukarelawan dari Malaysia sanggup ke sini (Sumur) menziarahi kami. Saya mendoakan abang bersama pasukan relawan Malaysia sentiasa berada dalam lindungan Allah dan hanya moga Allah sahaja membalas jasa kalian,” katanya.

Pertemuan wartawan Bernama selama 15 minit itu diakhiri dengan linangan air mata dan wartawan Bernama sendiri terkesan dengan kejadian yang menimpa mereka. — Bernama

Advertisement