Anda di sini

Burung kenyalang, merah, putih dan hitam logo GPS

Advertisement
Abang Johari bersama pemimpin-pemimpin parti komponen GPS menunjukkan tanda bagus pada Majlis Memperkenalkan Logo GPS di ibupejabat PBB hari ini.

KUCHING: Logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) diperkenalkan hari ini oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bersejarah di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Beliau berkata logo GPS merupakan Burung Kenyalang dalam bentuk 'S' terdiri daripada tiga warna iaitu merah, hitam dan putih yang menggambarkan visi parti 'Utamakan Sarawak' .

"Hari ini adalah hari yang amat bersejarah dalam politik negeri Sarawak, kerana kita telah menubuhkan satu gabungan parti yang berasaskan daripada anak-anak Sarawak.

"Gabungan parti ini akan memimpin dan seterusnya memberi hala tuju bagi kepentingan anak-anak Sarawak seperti termaktud dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Memperkenalkan Logo dan lagu GPS.

Logo GPS

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat ahli majlis tertinggi GPS terdiri daripada Presiden dan Timbalan Presiden PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ketua Wanita GPS, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkara tiga warna pada logo berbentuk burung kenyalang itu membawa makna tersendiri iaitu hitam merupakan simbol tunjang kekuatan gabungan dalam menjunjung dan memenuhi objektif penubuhan.

Manakala merah pula mencerminkan kedaulatan perlembagaan dan putih melambangkan keadilan dan kesaksamaan serta kedaulatan undang-undang yang mesti dipatuhi.

"Burung kenyalang adalah haiwan terlindung, ia sama dalam perjuangan semua pemimpin dan ahli di bawah GPS, akan terus melindungi hak-hak Sarawak," ujarnya.

Abang Johari turut berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan permohonan pendaftaran GPS sebagai entiti politik di Sarawak.

Ditubuhkan pada 12 Jun 2018, GPS terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP selepas empat parti itu keluar Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 9 Mei 2018.

Pada 19 November 2018, Muhyiddin Yassin mengumumkan kelulusan pendaftaran GPS di Dewan Rakyat.

GPS sepatutnya dilancarkan pada Julai 2018 terpaksa ditangguhkan kerana menunggu surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

  • oleh
  • Advertisement