Anda di sini

Agong ke-16: Kuasa budi bicara 9 Raja Melayu

Advertisement
 Kelmarin, mesyuarat khas Majlis Raja-Raja menetapkan pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 nanti.  — Gambar Bernama
BAKAL DIPILIH: Kelmarin, mesyuarat khas Majlis Raja-Raja menetapkan pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 nanti. — Gambar Bernama

SEJAK lewat petang Ahad, selepas Sultan Muhammad V melepaskan takhtanya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 rakyat jelata bukan sahaja terkejut dan berduka tetapi menanti dengan penuh debar siapakah yang bakal menggantikan baginda untuk menaiki takhta tertinggi pemerintahan negara.

Sememangnya menjadi satu kebanggaan bagi rakyat terutama di sembilan negeri beraja di Semenanjung Malaysia untuk melihat sultan atau raja mereka menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong dan bersemayam di Istana Negara.

Kelmarin (7 Januari) , mesyuarat khas Majlis Raja-Raja menetapkan pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 nanti manakala Mesyuarat Khas bagi acara mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula dijadual diadakan pada 31 Januari.

Itulah keputusan mesyuarat khas berkenaan yang dihadiri enam daripada sembilan sultan dan raja iaitu Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

SISTEM PEMILIHAN

 Seorang pekerja melakukan kerja pembaikan di pekarangan Istana Negara dekat Kuala Lumpur  sewaktu tinjauan Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas peletakan Jawatan Yang di-Pertuan Agong. — Gambar Bernama
LAMBANG: Seorang pekerja melakukan kerja pembaikan di pekarangan Istana Negara dekat Kuala Lumpur sewaktu tinjauan Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas peletakan Jawatan Yang di-Pertuan Agong. — Gambar Bernama

Perkembangan yang berlaku ini tentunya membuatkan banyak pihak ingin tahu proses pemilihan sistem beraja yang merupakan institusi terulung dan tertinggi dalam negara.

Dalam sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir pada setiap lima tahun.

Sultan Muhamad mencipta sejarah apabila tidak mencukupkan penggal perkhidmatan selama lima tahun selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Disember 2016 dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 24 April 2017.

Sekiranya mengikut sistem penggiliran, Sultan negeri seterusnya yang akan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah Pahang, namun baginda Sultan Ahmad Shah dikhabarkan dalam keadaan gering.

Jika keadaan itu berlaku, giliran seterusnya ialah Johor yang kini diperintah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Setakat ini, hanya tiga negeri yang belum melengkapkan giliran Yang di-Pertuan Agong bagi pusingan kedua iaitu Pahang, Johor dan Perak.

Menurut Pakar Perlembagaan Prof Madya Shamrahayu Abd Aziz, pemilihan seorang sultan dari negeri sebagai yang di-Pertuan Agong adalah di bawah kuasa budi bicara para sultan sendiri dan ia dibuat melalui keputusan daripada undi rahsia para Sultan melalui Majlis Raja-Raja.

Keputusan undi rahsia itu hendaklah diterima dan dipersetujui oleh sultan yang dicalonkan sebagai Yang di-Pertuan Agong melalui senarai lantikan.

“Dengan erti kata lain, sebarang keputusan undian hendaklah dipersetujui oleh sultan yang namanya diundi sebagai Yang di-Pertuan Agong. Baginda hendaklah bersetuju dengan lantikan tersebut.

“Sekiranya baginda tidak bersetuju maka baginda tidak boleh diangkat ke atas takhta Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi kelmarin.

KEPUTUSAN MAJLIS RAJA-RAJA

 Suasana di perkarangan Istana Negara sewaktu tinjauan Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong. — Gambar Bernama
LAMBANG PERPADUAN: Suasana di perkarangan Istana Negara sewaktu tinjauan Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong. — Gambar Bernama

Shamrahayu berkata Majlis Raja-Raja mempunyai senarai calon Yang di-Pertuan Agong yang dipersetujui sebelum ini.

Berdasarkan kepada senarai calon dalam sistem, giliran kedua ini disandarkan kepada senarai negeri yang telah menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Namun saya fikir, senarai tersebut adalah atas dasar pemuafakatan antara baginda sultan-sultan dan pada pengamatan saya, dalam pemilihan sebelum ini juga ia mungkin masih lagi bergantung kepada keputusan budi bicara Majlis Raja-Raja atau atas keputusan sultan yang dicalonkan,” katanya.

Jelas beliau, oleh kerana sultan yang dicalonkan itu perlu memberikan perkenan maka pencalonan dan pemilihan tersebut juga bergantung kepada keputusan sultan yang dicalonkan.

Oleh itu, ia masih kekal sebagai budi bicara majlis raja-raja, katanya.

Menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan  dalam Jadual Ketiga, pemilihan Yang di-Pertuan Agong hendaklah disokong oleh sekurang-kurangnya lima sultan lain dan hendaklah juga dipersetujui oleh sultan yang dicalonkan.

Ini secara jelasnya di dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan keputusan melantik Yang di-Pertuan Agong ini boleh dibuat berdasarkan keputusan majoriti Majlis Raja-Raja.

LIHAT DARI KACA MATA POSITIF

 Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara pada 24 April 2017. — Gambar Bernama
SEJARAH: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara pada 24 April 2017. — Gambar Bernama

Spekulasi kedudukan Sultan Muhammad V mulai tular apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Majlis Raja-Raja bermesyuarat selepas Timbalan Yang di-Pertuan Agong  Sultan Nazrin Shah yang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong menamatkan tugas baginda pada 31 Disember lalu.

Sultan Nazrin menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong apabila Sultan Muhammad V bercuti selama dua bulan mulai 2 November untuk menjalani rawatan.

Pada 24 November, media luar negara melapor dan menyiarkan gambar perkahwinan Sultan Muhammad V di luar negara. Bagaimanapun tiada pengumuman rasmi daripada pihak Istana Negara mengenai laporan media itu.

Menurut Shamrahayu peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong itu perlu dilihat dari kaca mata positif agar tidak menyebabkan institusi beraja terjejas.

Perlembagaan tidak menetapkan syarat bagi Yang di-Pertuan Agong  untuk menjelaskan secara terperinci tentang alasan dan sebab peletakan jawatan baginda.

Cukup sekadar kita sebagai rakyat menerima keputusan yang telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan meletakkan taat setia kepada keputusan yang dibuat secara muafakat oleh Majlis Raja-Raja, katanya.

“Saya fikir institusi beraja perlu kekal relevan demi kedaulatan negara. Benar, peletakan jawatan yang di-Pertuan Agong ini mungkin mendatangkan persepsi tersendiri ke atas institusi beraja.

“Apapun, dari awal pembentukan negara ini Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan yang jelas tentang bolehnya bagi Yang di-Pertuan Agong meletakkan jawatan,” katanya.

Ini juga membuktikan bahawa, peletakan jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong bukan suatu yang tidak dijangka dalam undang-undang.

Beliau menegaskan, institusi beraja mempunyai kekuatan yang tersendiri dari segi sejarah, sumbangan dan peranan besar yang dimainkan.

“Kedudukan institusi beraja itu sendiri perlu dilihat pada kaca mata yang positif. Justeru, kita tidak perlu menabur atau memberikan ulasan-ulasan yang boleh mengeruhkan atau memburukkan institusi beraja.

“Apa yang utama bagi kita ialah, urusan negara terus berlangsung dengan baik dan harmoni serta tidak membuka ruang bagi institusi beraja ini dikecam atau diburuk-burukkan lagi dengan spekulasi dan anggapan yang boleh mendatangkan perasaan curiga sama ada di dalam atau di luar negara,” katanya.

LAMBANG MARUAH DAN KEDAULATAN NEGARA

Merupakan lambang perpaduan antara kaum, takhta Yang di-Pertuan Agong menjadi lambang kepada maruah dan kedaulatan sebuah negara Persekutuan yang terdiri daripada 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Sembilan daripada negeri-negeri tersebut mempunyai takhta kesultanan masing-masing.

Ini adalah satu keunikan bagi negara ini yang mana tiada negara lain yang mempunyai takhta sebegini, jelasnya.

Takhta ini direkacipta sempena penubuhan dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Jelas beliau jika diperhati dengan lebih mendalam, takhta Yang di-Pertuan Agong adalah manifestasi pemuafakatan antara negeri-negeri yang dinaungi sultan-sultan yang tersendiri itu.

“Pemuafakatan dalam bentuk sebuah negara persekutuan adalah kerana Persekutuan ini dibentuk atas tanah negeri-negeri.

“Oleh itu pemuafakatan Raja-Raja Melayu telah menjadi pemangkin kepada pewujudan takhta Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan,” katanya.

Pemuafakatan ini juga dapat dilihat dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mana dalam hal berkaitan apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengan Islam, Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan.

Setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

Malah dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dinyatakan dengan jelas sekali bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama bagi Persekutuan.

Apabila Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja, pastinya Majlis Raja-Raja maklum tentang keutamaan yang perlu diberikan kepada takhta Yang di-Pertuan Agong, jelasnya. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement