Anda di sini

Pesara tentera maut tertembak diri sendiri

Advertisement
Polis menjalankan siasatan di tempat kejadian

SAMARAHAN: Seorang pesara tentera ditemukan mati dipercayai akibat tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah berhampiran Kampung Plaie, di sini, malam Isnin.

Mangsa dikenali sebagai Hereng Pili, 44, berasal dari Kampung Plaie di Muara Tuang.

Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Lee Chong Chern berkata mangsa dijumpai terbaring di sisi motosikalnya dalam keadaan berlumuran darah iaitu sekitar pukul 11.20 malam.

“Saksi pertama melihat lampu berkelip-kelip di jalan berbatu tersebut iaitu lebih kurang 30 meter daripada jalan besar dan semasa menghampirinya dia mendapati mangsa dalam keadaan terbaring bersama motosikalnya dan terdapat selaras senapang patah di sebelahnya.

“Saksi kemudian terus memaklumkan kepada penduduk kampung dan seterusnya melaporkan kepada polis,” kata dalam satu kenyataan hari ini.

Senapang yang dijumpai di lokasi kejadian.

Menurut Lee, mangsa dipercayai dalam perjalanan untuk keluar berburu dan ada mengajak anaknya sebelum insiden tersebut berlaku.

“Anaknya memberitahu dia (mangsa) ada mengajaknya sekali iaitu sekitar pukul 9 malam, namun dia enggan mengikut mangsa,” katanya.

Siasatan polis di tempat kejadian turut menemukan selaras senapang patah berisi kelongsong peluru yang didapati terdapat kesan ketuk ‘firing pin’ 

“Mangsa dipercayai tertembak dirinya dari jarak dekat berdasarkan kesan kecederaan dan tompokan darah yang ditemui pada tubuhnya,” kata Lee.

Anggota paramedik yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dihantar Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan di tempat kejadian dan keterangan daripada saksi mendapati kes menjurus kepada kemalangan tertembak diri sendiri.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut” katanya.

  • oleh
  • Advertisement