Anda di sini

Mu’adz & Azwan nyanyi lagu Tamil untuk filem Rajinikanth

Advertisement
 Abdul Malik (kanan) bersama Azwan (kiri) dan Mu’adz (dua dari kiri) pada pelancaran album tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir pelakon Fazura (dua kanan).
LANCAR: Abdul Malik (kanan) bersama Azwan (kiri) dan Mu’adz (dua dari kiri) pada pelancaran album tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir pelakon Fazura (dua kanan).

DUA penyanyi nasyid tempatan diberikan peluang menyanyikan lagu Tamil bertajuk ‘Ullala’ dari filem ‘Petta’, filem terbaharu lakonan legenda filem Tamil Rajinikanth, yang akan digunakan untuk video promosi filem tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation (syarikat pemegang hak pengedaran filem itu untuk seluruh dunia kecuali India) Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata lagu dinyanyikan Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim itu akan digunakan untuk klip video bagi mempromosikan filem itu di negara-negara Asean.

“Filem itu yang akan ditayangkan 10 Januari ini sempena perayaan ‘Ponggal’ adalah kerjasama pertama Rajinikanth dengan pengarah muda Karthik Subbaraj dengan barisan pelakon termasuk pelakon Bollywood Nawazuddin Siddiqui, Vijay Sethupathi, Simran, Trisha dan Bobby Simha”, katanya pada pelancaran album nyanyian Mu’adz dan Azwan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terdapat desas-desus yang menyatakan filem itu merupakan filem terakhir SuperStar Kollywood itu sebelum beliau secara rasminya menyertai bidang politik.

(Kanan) MU'ADZ dan AZWAN
(Kanan) MU'ADZ dan AZWAN

Abdul Malik berkata Petta, yang bermaksud tempat tinggal, dijadual akan ditayangkan di 140 pawagam di seluruh negara dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telugu.

Abdul Malik berkata lagu nyanyain Mu’adz dan Azwan itu akan dihantar untuk diperdengarkan kepada Rajinikanth. Penyanyi lagu itu di dalam filem ‘Petta’ ialah Nakash Aziz dan Inno Genga.

Sementara itu, Mu’adz memberitahu Bernama walaupun beliau pernah menyanyikan lagu Tamil sebelum ini, namun peluang menyanyikan lagu ‘Ullala’ disifatkan sebagai pengiktirafan buat dirinya.

“Kami mengambil masa lima hari untuk merakamkan lagu ini. Cabaran utama adalah sebutan dan ekspresi yang perlu diluahkan mengikut maksud perkataan selain mengejar masa untuk berlatih,” katanya.

POSTER FILEM PETTA
POSTER FILEM PETTA

Mereka dilatih komposer dan penulis lirik serta skrip popular tanah air, Kavilnayagan Yuwaji sementara Saran Z bertindak selaku pengarah bagi projek lagu itu.

Mu’adz dan Azwan pernah berganding bahu menyanyikan lagu Tamil tempatan bertajuk ‘Azhagu’ pada 2014 menerusi kumpulan SALAAM.

Azwan berkata, sebagai peminat Rajinikanth merupakan antara motivasi untuknya bersetuju menyanyikan lagu yang digubah komposer muzik terkenal India, Anirudh Ravichander itu.

Mu’adz merupakan penyanyi solo nasyid pernah menerbitkan album ‘Rindukan Cahaya’ pada 2013, manakala Azwan pula adalah ahli kumpulan nasyid Fareast dan telah menghasilkan lapan album setakat ini. — Bernama

Advertisement