Anda di sini

Ketahui Nyala Rasa Sejati Diri

 

ANDA HARUS MEMBERIKAN SEGALA-GALANYA UNTUK MENIKMATI HIDUP YANG INDAH, SEINDAH MIMPI YANG BERMAIN-MAIN DALAM IMAGINASI ANDA.” — ROMAN PAYNE

Apakah maknanya mempunyai nyala rasa? Bolehkah anda benar-benar mempunyai minat yang mendalam tentang perkhidmatan pelanggan? Bolehkah anda betul-betul mempunyai nyala rasa untuk pengurusan sumber manusia? Bolehkah nyala rasa timbul dalam diri seseorang apabila dia melihat lembaran hamparan yang dipenuhi dengan angka-angka?

Jawapan kepada soalan-soalan di atas adalah: Sudah tentu! Jadi, apakah maknanya mempunyai nyala rasa?

Mempunyai nyala rasa bermaksud anda tidak berhenti-henti memikirkan penyelesaian sesuatu masalah. Dalam erti kata lain, anda terus mempelajari sebanyak mungkin tentang masalah itu dan mengabdikan masa mencari idea terbaik untuk menangani masalah tersebut. Ia bererti mencari poin yang menyakitkan, di mana apabila dikurangkan, memberi perkhidmatan yang diperlukan oleh orang ramai, atau memberi perubahan positif kepada masyarakat sekeliling anda.

Berkaitan: 6 Langkah Kepimpinan Hebat Daripada Steve Jobs

Ada orang berpendapat bahawa mempunyai minat yang mendalam terhadap perkhidmatan pelanggan itu betul-betul membosankan. Nyala rasa, menurut sesetengah orang, bukan hanya tentang menyelesaikan masalah, ia adalah tentang mengenal pasti perkara yang penting bagi anda dan yang anda akan serahkan jiwa raga untuk menyelesaikannya.

Tetapi bagi sesetengah orang, menawarkan perkhidmatan pelanggan atau pengurusan sumber manusia yang hebat, atau memperbaiki angka-angka yang timbul di lembaran hamparan itulah yang penting bagi diri mereka — perkara seperti inilah yang membuatkan mereka tidak dapat tidur lena dan memikirkan, “Bagaimana saya boleh melakukan penambahbaikan yang akan membuat perubahan yang sebenar-benarnya?”  

Kemahiran yang tidak boleh diajar

TIDAK KIRA APA YANG TELAH ANDA LAKUKAN ATAU DI MANA ANDA PERNAH BERADA… APA YANG PENTING ADALAH DI MANA ANDA BERADA SEKARANG DAN APA YANG ANDA SEDANG LAKUKAN. KELUARLAH! NYANYIKAN LAGU YANG ADA DALAM JIWA ANDA DAN JANGAN SESEKALI BIARKAN SESIAPA TUTUP MULUT ANDA! — STEVE MARABOLI

Perkara yang amat kita minati sememangnya subjektif. Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati. Nyala rasa kita mungkin sesuatu yang menyusahkan buat orang lain. Tetapi apa sahaja yang kita lakukan, jika kita masih belum menemui nyala rasa kita, jangan tunggu lagi; kejayaan hebat lahir daripada nyala rasa yang hebat juga.

Kita boleh diajar segala-galanya — kecekapan, kebolehan menyelesaikan masalah, kemahiran komunikasi, kemahiran praktikal, membina perangkaian — semuanya boleh diajar, kecuali nyala rasa. Itu hanya akan datang dari dalam diri masing-masing.

Kita sudah melihat cukup banyak kajian yang menunjukkan bahawa kebanyakan tenaga kerja dunia tidak meminati pekerjaan mereka. Ia tidak cukup mencabar, ia membosankan, memberi tekanan, mendesak, pengurus gagal memberi arah tujuan untuk berkembang, dan macam-macam lagi. Jadi, apa kata jika kita membantu mereka mencari nyala rasa dalam pekerjaan mereka, mencari makna yang lebih mendalam dan tujuan dalam apa yang mereka ingin kerjakan?

Anda mungkin berkata, “Itu semua baik, tetapi bukan semua orang boleh berjaya; tidak semua mempunyai nyala rasa yang tinggi terhadap apa yang dilakukan.” Biasalah, akan ada yang kurang keberanian untuk mencari nyala rasa diri, dan yang lain tidak pedulikan langsung tentang keperluan untuk mempunyai nyala rasa atau berusaha mencarinya di mana jua mereka berada. Ya, memang betul — tidak semua orang akan berjaya dan bukan semua akan menemukan nyala rasa mereka.

Tetapi bagi kita yang merasakan diri ada potensi membantu menyelesaikan masalah yang luar biasa, atau terpanggil menyelesaikan permasalahan yang bermain-main di kepala, tiada apa di dunia yang boleh menawarkan kepuasan sebenar-benarnya melainkan diri melakukannya dengan bersungguh-sungguh — tidak kira apa sahaja minat itu.

Integrasi atau keseimbangan hidup dan kerja? 

“JIKA ANDA INGIN MENGENALI SAYA, JANGAN TANYA DI MANA SAYA TINGGAL, ATAU APA YANG SAYA SUKA MAKAN, ATAU CARA SAYA MENYIKAT RAMBUT SAYA, TETAPI TANYAKAN MATLAMAT HIDUP SAYA, SECARA TERPERINCI, TANYAKAN PENDAPAT SAYA TENTANG PERKARA YANG MENGEKANG HASRAT SAYA UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN YANG SAYA INGINKAN.” — THOMAS MERTON

Kebanyakan daripada kita sedar tentang perdebatan sama ada kita harus mencapai keseimbangan hidup dan kerja atau memilih integrasi hidup dan kerja. Secara peribadi, saya mengesyorkan yang pilihan itu dibuat oleh individu itu sendiri. Kita semua harus bebas memilih sama ada kita hendak mengasingkan kehidupan kita kepada bahagian yang berbeza, atau mengumpulkannya menjadi satu kehidupan yang penuh bermakna. Saya perlu nyatakan di sini, tanpa kekecualian, mereka yang kerap berbicara tentang kepentingan keseimbangan hidup dan kerja selalunya tidak terlibat dengan kerja mereka (bukan semua); dan mereka yang berbicara tentang integrasi hidup dan kerja adalah mereka yang mencintai pekerjaan mereka.

Sebagai kesimpulan, dari pemerhatian saya, dua konsep ini boleh dianggap sebagai berikut: 

Keseimbangan hidup dan kerja: Aktivti yang lahir daripada keperluan mengasingkan ‘kerja’ daripada kehidupan seseorang supaya sempadan-sempadan dapat dibina untuk membenarkan individu itu mengumpul semula, mengecas semula, menghilangkan stres, dan meluangkan lebih masa terhadap perkara yang lain selain daripada mencari nafkah.

Integrasi hidup dan kerja: Di sini nyala rasa seseorang berkait rapat dengan nilai teras, kepercayaan serta aspirasinya sehinggakan ia kehilangan label ‘kerja’ atau ‘tugas’. Tidak timbul keperluan untuk mengasingkan ‘kerja’ daripada ‘kehidupan’ kerana tidak wujud ketidakpuasan mahupun keinginan untuk memisahkan kedua-duanya. Seseorang itu telah berjaya mencapai kehidupan yang seimbang dengan melakukan perkara yang sangat diminatinya. Tidak apa yang perlu diselaraskan lagi.

Datang pula soalan yang berbunyi begini, “Jika kita terlalu asyik dengan nyala rasa kita, kerja kita, bagaimana pula dengan masa yang diperlukan untuk keluarga, kawan-kawan, rehat dan riadah?”

Ini merupakan masalah dalam keseimbangan hidup dan kerja. Mengamalkan integrasi hidup dan kerja tidak bermakna setiap saat diluangkan melakukan kerja. Anda boleh menikmati nyala rasa anda dan pada masa yang sama melakukan aktiviti seharian. Ini berlainan dengan pendapat yang anda terpaksa mencari masa untuk melakukan perkara penting di luar waktu kerja. Perubahan perspektif ini yang memainkan peranan penting.  

Akhir kata 

Dalam proses pencarian nyala rasa, kehidupan kita akan menjadi lebih berseri. Kita akan bangun dengan senang setiap hari, tidak kira hari Isnin atau Jumaat. Kita mempunyai keghairahan yang sama untuk mencapai apa jua yang diimpikan. Dek kerana keghairahan itulah, kita akan menjalin hubungan lebih baik dengan semua orang di sekeliling kita. Kita juga akan berjaya mencari masa untuk perkara yang penting buat kita, kerana kita menjadi lebih peka, fokus dan bermotivasi. Terima kasih kepada nyala rasa kita.

Sumber
Sumber