Anda di sini

Gambar kanak-kanak duduk di atas penyu, siasatan akan dibuat

Advertisement
 Gambar yang menunjukkan kanak-kanak duduk di atas seekor penyu mendatangkan kemarahan netizen selepas ia tular di media sosial.
DISIASAT: Gambar yang menunjukkan kanak-kanak duduk di atas seekor penyu mendatangkan kemarahan netizen selepas ia tular di media sosial.

KOTA KINABALU: Siasatan lanjut akan dijalankan terlebih dahulu berhubung gambar tular di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak duduk di atas seekor penyu.

Walaupun lokasi dan masa gambar berkenaan belum dapat dipastikan, namun ia mendatangkan kemarahan ramai pihak selepas ditularkan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pihaknya akan menyiasat isu itu memandangkan ada dakwaan mengatakan kejadian itu berlaku di Sabah.

“Dari gambar berkenaan, saya boleh katakan mereka memang melakukan kesalahan kerana penyu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di Sabah.

“Kumpulan orang ini (saya tidak pasti sama ada mereka pelancong atau datang dari mana), menyeksa penyu terbabit dengan duduk di atasnya,” katanya bagi mengulas isu berkenaan di sini kelmarin.

Beliau turut mengarahkan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Datuk Augustine Tuuga untuk menjalankan siasatan serta mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Menurutnya, jika kejadian itu berlaku di Sabah, ia menunjukkan pelancong terbabit tidak menghargai hidupan liar di sini.

“Mereka sepatutnya menghormati undang-undang kita dalam melindungi spesies hidupan liar di Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, Augustine berkata, pegawainya akan menyiasat lanjut berhubung kes terbabit.

Advertisement