Anda di sini

Dua maut kemalangan

Advertisement
 Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta.
MAUT: Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta.

KUCHING: Dua lelaki maut dalam satu insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Simpang Batu Lintang Sri Aman petang semalam.

Kedua-dua mangsa yang maut dikenali sebagai Patrick Tumba Migik, 49, (pemandu kereta) dan Alexander Jantom, 27, penumpang hadapan kereta terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Tiong Ling Hii berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.40 petang semalam.

"Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu jenis 4WD dengan kereta dipercayai bertembung dari arah bertentangan yang berlaku berhampiran jalan simpang masuk Batu Lintang-Sri Aman.

"Kereta dinaiki empat lelaki termasuk pemandu yang menghala dari Betong ke Sri Aman telah remuk mengakibatkan seorang lelaki (pemandu) tersepit di tempat duduk hadapan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Hospital Sri Aman," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Manakala seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sri Aman.

Tiong berkata pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala empat lagi mangsa lain termasuk dua lelaki dari kenderaan 4WD mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, operasi itu tamat jam 3.30 petang melibatkan 11 anggota diketuai Pegawai Bomba Jilin Itar dan Komander Operasi William Baheng.

Beliau menambah, agensi lain yang turut terlibat ialah Polis Diraja Malaysia, Pasukan Paramedik dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

Advertisement