Anda di sini

TAMP bakal dilaksana bagi persediaan terima 2.5 juta penumpang

Advertisement
ALIJUS berharap warga Tawau turut bersabar dan mematuhi penambah-baikan sistem laluan yang diperkenalkan di LTT.
ALIJUS berharap warga Tawau turut bersabar dan mematuhi penambah-baikan sistem laluan yang diperkenalkan di LTT.

TAWAU: Pelaksanaan perancangan Tawau Airport Modernization Plan (TAMP) bakal menambah kapasiti Lapangan Terbang Tawau (LTT) kepada 2.5 juta penumpang setahun berbanding ketika ini 1.4 juta penumpang.

Bagaimanapun, kelulusan pelaksanaan projek TAMP bergantung kepada kelulusan pihak berwajib khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) terlebih dahulu sebelum dapat dilaksanakan.

Pengurus LTT Hasbi Mohd Said berkata jika lulus, kerja-kerja TAMP meliputi aspek menambah-baik saiz, fasiliti dan kemampuan operasi dapat dimulakan pada 2020 dan dijadual siap pada 2021.

“Pihak pengurusan Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) sudah menyampaikan taklimat kepada Kerajaan Negeri berkaitan projek pembesaran LTT yang dinamakan sebagai TAMP,” katanya.

Hasbi berkata demikian ketika sidang media Kempen Kesedaran Lalu-Lintas dan Derma Darah MASB di LTT, yang dirasmikan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus Sipil pada Isnin.

Menurutnya,  pelan projek itu juga sudah diserahkan kepada MOT dan pihak berkaitan untuk diberikan perhatian, termasuk sekiranya ada sebarang tambahan input untuk penambah-baikan.

“Persiapan juga disusun sempena 2019 Tahun Cuti-Cuti Tawau, termasuk kempen hari ini sebagai sebahagian langkah awal untuk menghadapi pertambahan penumpang yang menggunakan LTT.

“Projek jangka pendek yang kita lancarkan termasuklah seperti menambah-baik Kaunter Daftar Masuk yang melibatkan bajet sehingga RM50, 000 untuk melancarkan laluan penumpang.

“Begitu juga untuk menambah-baik lalu-lintas (aliran trafik) di Balai Berlepas dan Balai Ketibaan dengan mewujudkan dua bahagian laluan (laluan dalam dan laluan luar),” katanya.

Laluan dalam khusus untuk kenderaan yang menurunkan dan mengambil penumpang, manakala laluan luar pula kegunaan kenderaan yang mahu meneruskan perjalanan tanpa berhenti di terminal.

Beliau berkata usaha-usaha yang dilakukan pihaknya melibatkan empat projek pelan jangka pendek di LTT termasuk penambahbaikan kaunter dan laluan dijangka selesai pada penghujung bulan ini.

“LTT kini menerima pertambahan pesawat baharu antara Kuching dan Tawau (Airasia) dan KK-Tawau (Malindo Air), dan akan menerima penerbangan langsung dari China pada Februari ini.

“Perkembangan itu (kehadiran pesawat dari China) dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew,” katanya.

Menyentuh mengenai permintaan Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau supaya LTT melalui Jabatan Imigresen menambah Kaunter Imigresen, beliau berkata perkara itu dalam perancangan.

  • oleh
  • Advertisement