Anda di sini

Pinjaman Kerajaan Persekutuan dibayar ikut jadual

 

KUCHING: Pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan dibayar mengikut jadual berdasarkan jadual bayaran balik seperti dinyatakan dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Kerajaan Negeri Sarawak menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata sehingga 31 Disember 2018, jumlah hutang Pinjaman Persekutuan Sarawak adalah RM2.38 bilion.

"Setiap tahun Kerajaan Negeri Sarawak menyediakan peruntukan mencukupi dalam Bajet Tahunan untuk membayar balik pinjaman-pinjaman (daripada kerajaan persekutuan).

"Hakikatnya Sarawak, antara negeri-negeri tidak ada tunggakan dalam bayaran balik pinjaman. Ini telah dibuktikan oleh Ketua Audit Negara di dalam laporan tahunannya dan dikemukakan kepada Majlis Kewangan Negara," jelas Kerajaan Negeri.

Menurut kenyataan akhbar itu lagi, ia adalah prosedur biasa, seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk negeri-negeri di Malaysia mendapatkan dana persekutuan sama ada dalam bentuk pinjaman atau geran.

Dalam bentuk pembiayaan, sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman, ia berdasarkan jenis projek sebagai contoh sama ada projek itu akan menjana pendapatan pada masa akan datang (mempunyai nilai komersil).

Bagi kes Sarawak, pinjaman-pinjaman persekutuan diperoleh bagi membiayai pelaksanaan pelbagai projek di bawah Senarai Bersama termasuk bekalan air, pembetungan, estet perindustrian, perumahan dan pertanian (terutamanya peladangan kelapa sawit melibatkan pekebun kecil), jelas kerajaan negeri.

Kenyataan akhbar ini dikeluarkan sebagai penjelasan kepada kenyataan akhar Menteri Kewangan Lim Guan Eng bertarikh 6 Januari 2019 (Ahad) berhubung tunggakan dalam pembayaran balik pinjaman dengan Kerajaan Persekutuan.

Lim dalam kenyataan akhbarnya berkata adalah tidak wajar Kerajaan Negeri Sarawak tidak membuat fitnah mengenai agihan RM2.7 juta cukai pelancongan memandangkan setakat 30 November 2018, Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang lebih RM2.5 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dengan tunggakan hutang hampir  RM50 juta.

"Memandangkan Negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutan kepada Kerajaan Persekutuan?" soal Lim.