Anda di sini

Agong letak jawatan

Advertisement
 Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara pada 24 April 2017. — Gambar Bernama
PERTABALAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara pada 24 April 2017. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata Seri Paduka memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

“Bagi menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Januari 2019 bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Wan Ahmad Dahlan berkata Sultan Muhammad V menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang telah memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bermula 13 Disember 2016.

Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku ketua negara, berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat,” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda amat berbangga dengan pengorbanan dan taat setia yang dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata Seri Paduka Baginda bersedia berangkat pulang ke Kelantan untuk bersama-sama kerajaan dan rakyat negeri itu bagi menjaga dan membangunkan Kelantan demi kesejahteraan rakyat.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Disember 2016.

Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-243 (Khas) pada Oktober 2016, yang turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Muhammad V menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 pada 12 Disember 2016.

Dalam sistem demokrasi raja berperlembagaan Malaysia, pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir pada setiap lima tahun.

Peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V sebagai ketua negara adalah yang pertama dalam sejarah negara ini. — Bernama

Advertisement