Anda di sini

Jenayah digempur

Advertisement
 Dua individu dicekup selepas dipercayai terlibat kes curi besi dan motosikal.
TUMPAS: Dua individu dicekup selepas dipercayai terlibat kes curi besi dan motosikal.

KUCHING: Polis Sarawak melancarkan operasi besar-besaran membanteras kegiatan jenayah di sekitar Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan bermula kelmarin.

Operasi tersebut adalah susulan aduan para pengusaha di kawasan itu berhubung kegiatan kecurian dan pecah masuk yang semakin membimbangkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong berkata, sehingga semalam sahaja seramai tujuh lelaki telah ditangkap dalam operasi tersebut.

“Lima lelaki telah ditangkap dalam operasi tersebut pada sebelah pagi (semalam) untuk membantu kita dalam siasatan kes kecurian serta pecah masuk.

“Manakala pada sebelah petang pula, dua lagi ditangkap juga di sekitar kawasan Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan dipercayai suspek curi besi dan motosikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau yakin pihaknya akan dapat mengesan lebih ramai suspek  yang aktif melakukan jenayah di sekitar kawasan tersebut dengan penangkapan tujuh individu terbabit.

Operasi tersebut yang diketuai Denis dan dibantu ASP Ooi Jin Bing dan Inspektor Ushananthi Chandran, turut disertai anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Terdahulu, satu sesi dialog antara polis dan para pengusaha di kawasan perindustrian tersebut telah diadakan untuk membincangkan isu-isu keselamatan.

“Pada sesi dialog tersebut, seramai 13 pengusaha masing-masing meluahkan rasa bimbang berkenaan isu keselamatan di kawasan itu,” kata Denis.

Hadir sama Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pending, Violet Yong.

Kedua-dua wakil rakyat terbabit turut memberi pandangan mengenai kepentingan kerjasama semua pihak dalam memperbaiki isu keselamatan serta kesejahteraan secara menyeluruh di kawasan tersebut.

  • oleh
  • Advertisement