Anda di sini

Polis Kota Kinabalu tahan 42 individu disyaki terlibat kes dadah

Advertisement
 
 

KOTA KINABALU: Polis menahan 42 orang yang disyaki terlibat dalam kes dadah di sekitar daerah ini dalam tempoh seminggu hingga Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata 12 tangkapan membabitkan kes bekalan dan memiliki dadah jenis syabu, manakala 30 tangkapan lagi melibatkan ujian air kencing positif dadah.

Katanya, 29 orang yang ditahan adalah rakyat tempatan dan 13 warganegara asing yang kesemua mereka berusia antara 16 hingga 43 tahun.

Operasi dan tangkapan di bawah Akta dadah Berbahaya 1952 itu dijalankan bermula 27 Disember hingga 3 Januari lepas, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nilai rampasan syabu adalah sebanyak 15.95 gram dengan nilai keseluruhan rampasan RM2,392, mengikut nilai harga dadah semasa.

Habibi berkata usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini akan diperhebat dan dipertingkatkan lagi demi kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah narkotik, untuk menyalurkan maklumat kepada polis. - Bernama 

Advertisement