Anda di sini

Lambakan beras import merisaukan

Advertisement
CALVIN (depan, tiga kanan) dan Chan (depan, tiga kiri) bersama sebahagian pengusaha transshipment dan barter trade yang hadir ke sesi dialog.
CALVIN (depan, tiga kanan) dan Chan (depan, tiga kiri) bersama sebahagian pengusaha transshipment dan barter trade yang hadir ke sesi dialog.

SANDAKAN: Lambakan beras import di gudang menjadi antara kebimbangan utama bagi pengusaha pemindahan beras ke kapal (transshipment) di daerah ini.

Difahamkan, penarikan balik larangan ke atas aktiviti itu telah ditunda oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MoA) menerusi surat bertarikh 27 Disember 2018 kepada Kementerian Pengangkutan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata menerusi surat itu, penundaan aktiviti transshipment melibatkan dagangan beras berkuatkuasa bagi semua pelabuhan di seluruh negara bagi tempoh tiga bulan.

Katanya, dalam surat itu turut dinyatakan MOA meminta penundaan untuk tiga bulan bagi membolehkan satu kajian lanjut diadakan bagi mendapatkan penyelesaian secara holistik berhubung kawalan transshipment di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara yang melibatkan dagangan beras.

"Saya berharap pengusaha di sini dapat memberi perhatian terhadap apa yang tertulis dalam surat ini. Lanjutan larangan ini melibatkan semua pelabuhan dan bukannya khas untuk Sandakan sahaja.

"Selain itu, tempoh ini diperlukan bagi membolehkan kementerian berkenaan membuat kajian bagi mengelak berlakunya penyeludupan beras bersubsidi berikutan wujud tuduhan seumpama sebelum ini.

"Kita sedar keputusan ini telah menjejaskan aktiviti transshipment di Sandakan sehingga menyebabkan berlakunya lambakan beras di gudang-gudang selain menjejaskan perniagaan serta tenaga kerja yang ada.

"Sebagai wakil rakyat, saya akan follow-up untuk memastikan perkara ini selesai dalam tempoh yang telah dijanjikan MOA. Selepas akhir bulan Mac, kena ada peraturan baharu agar peniaga boleh menjalankan perniagaan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Dialog Bersama Pengusaha Transshipment dan Barter Trade di Bandar Letat Jaya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun akan mengemukakan surat kepada pihak berkaitan bagi membolehkan aktiviti perniagaan tukar barang ataupun barter trade di daerah ini dapat dibuka semula selepas ditutup dua tahun lalu.

Katanya, aktiviti perniagaan itu amat penting kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi penduduk setempat.

"Melalui perkongsian oleh pengusaha barter trade, terdapat kira-kira 100 buah kumpit dari Filipina akan datang ke Sandakan dalam tempoh sebulan bagi mendapatkan barangan keperluan.

"Dan, boleh dikatakan 70 peratus daripada barangan yang dibeli adalah beras. Saya difahamkan, setiap kumpit akan memperuntukkan sehingga RM900 ribu hanya untuk membeli barang dari Sandakan," jelasnya.

Sesi dialog itu turut dihadiri oleh wakil Dewan Perniagaan Cina, pengimport, pengeksport serta persatuan syarikat pengangkutan dan persatuan perkapalan.

  • oleh
  • Advertisement