Anda di sini

Isi geran Program Angropreneur Muda 2019

Advertisement
JUNZ WONG
JUNZ WONG

KOTA KINABALU: Orang awam khususnya usahawan muda tempatan disaran supaya merebut peluang mencuba nasib mengisi geran di bawah Program Agropreneur Muda 2019.

Menteri Pertanian & Industri Makanan (Mafi) Datuk Junz Wong berkata, geran yang diperkenalkan oleh kerajaan itu dilaksanakan bagi membantu pengiat sektor pertanian di negeri ini.

"Program ini dilaksanakan bagi memberi galakkan kepada anak- anak tempatan Sabah tampil secara aktif memberi maklumbalas terhadap mana- mana program atau bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan masa kini.

"Justeru, jangan malu untuk datang kepada kami (Mafi) untuk mendapatkan sebarang bantuan, kerana kami bersedia membantu pemain industri ini untuk mencapai matlamat masing- masing," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai program geran di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu, Junz berkata,  setiap pemohon perlu memenuhi kreteria yang ditetapkan seperti warganegara tempatan berumur 18 hingga 40 tahun, boleh membaca, menulis dan memahami ilmu matematik.

Tambahnya, pemohon juga haruslah belia yang baru memulakan projek dan wajib mengikuti program latihan teknikal yang dianjurkan atau diperakui oleh MOA.

" Bagi pemohon yang memiliki Sijil, Diploma atau Ijazah, mereka berpeluang untuk tidak diwajibkan menjalani latihan teknikal yang menjadi kreteria pemohon.

" Pemohon yang berjaya akan diberikan geran sekali dalam seumur hidup mereka, dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang menjalankan aktiviti pertanian," katanya.

Terdahulu, permohonan geran bagi fasa pertama sudah dibuka bermula 1 Januari lepas dan berakhir pada 31 Januari depan.

Manakala, fasa kedua pula akan dibuka pada 1 hingga 31 Mei dan Fasa 3 akan berlangsung pada 1 hingga 30 September depan. 

Borang permohonan boleh dimuat turun dari pautan laman sesawang: www.moa. gov.my/agropreneur-muda.

  • oleh
  • Advertisement