Anda di sini

42 penagih, pengedar dadah ditahan dalam tempoh seminggu

Advertisement
ANTARA syabu yang berjaya dirampas sepanjang tempoh seminggu operasi dilaksanakan.
ANTARA syabu yang berjaya dirampas sepanjang tempoh seminggu operasi dilaksanakan.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan 42 individu terbabit dalam penyalahgunaan dadah serta merampas 15.95 gram syabu dalam tempoh seminggu bermula 27 Disember tahun lalu sehingga 3 Januari.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata 42 yang ditahan termasuklah 12 individu terbabit kes bekalan dan memiliki dadah manakala 30 yang lain terlibat penyalahgunaan dadah selepas ujian air kencing mereka positif.

“Kesemua suspek berumur 16 hingga 43 tahun terdiri daripada 29 warga tempatan dan 13 warga asing.

“Kesemua suspek ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 12(2), dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Habibi berkata dalam tempoh operasi dilaksanakan pihaknya berjaya merampas 15.95 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM2,392 pada harga pasaran semasa.

“Usaha membanteras aktiviti serta penyalahgunaan dadah akan diteruskan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan keamanan awan khususnya kawasan Kota Kinabalu.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah narkotik, dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk bersama-sama membanteras masalah dadah di sini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement