Anda di sini

Polis cekup suspek pengedar dadah

Advertisement
SUSPEK
SUSPEK

TAWAU: Polis mencekup seorang suspek pengedar dadah kira-kira jam 7.20 petang Rabu, disyaki ketika sedang menjalankan aktiviti menjual dadah di bawah sebuah rumah di Kg Ice Box Tengah, di sini.
 
Dalam serbuan itu, Pasukan Rondaan Cegah Jenayah Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau turut merampas syabu seberat kira-kira 32.7 gram dianggarkan bernilai RM3,000.
 
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata suspek, lelaki warga asing berusia 38 tahun cuba melarikan diri selepas dihampiri pasukan polis, namun berjaya ditangkap.
 
“Sebelum itu, polis membuat intipan kerana mendapati lelaki itu berkelakuan mencurigakan ketika menjalankan urusan perniagaan dengan pelanggannya.
 
“Hasil pemeriksaan, satu paket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu ditemui di celah kayu di bawah kolong rumah terbabit,” katanya.
 
Fadil berkata suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.
 
Mengulas lanjut, menurutnya buat masa ini suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan termasuk untuk mengetahui sumber dadah yang diperolehi.
 
“Soal-siasat awal, suspek mengaku mengenali seorang pengedar dadah semenjak November 2018 dan kerap membeli set antara satu hingga dua kali semingu.
 
“Suspek turut mengaku selalu menjalankan urusannya pada sebelah petang dan kali terakhir mendapat bekalan syabu pada hujung tahun lepas (31 Disember 2018).

BAHAN ketulan hablur jernih ini yang disyaki syabu dianggarkan seberat 32.7 gram dan bernilai RM3, 000.
BAHAN ketulan hablur jernih ini yang disyaki syabu dianggarkan seberat 32.7 gram dan bernilai RM3, 000.

“Kg Ice Box dikatakan menjadi kawasan tetap berurusan untuk membeli dan mengambil dadah dan setiap kali mengambil dalam set berharga RM500,” katanya.
 
Beliau berkata bahan bukti terbabit akan dianalisa di Jabatan Kimia Kota Kinabalu dan kes itu dirujuk dengan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
 
Sementara itu, tindakan siasatan, tangkapan dan rampasan oleh polis di dalam kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • oleh
  • Advertisement