Anda di sini

Pasar Besar Kota Kinabalu bakal berubah wajah

Advertisement
CHAN (dua kanan) menyerahkan kalender kepada salah seorang penjaja sambil disaksikan oleh Tan (dua kiri).
CHAN (dua kanan) menyerahkan kalender kepada salah seorang penjaja sambil disaksikan oleh Tan (dua kiri).

KOTA KINABALU: Imej Pasar Besar Kota Kinabalu bakal berubah apabila rancangan memperbaharui dan menghiasi bangunan itu akan dilaksana tahun ini seterusnya dijadikan sebagai satu destinasi tarikan pelancong.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata, beliau mempunyai visi mengadakan kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk memperbaharui imej dan wajah pasar besar di sini.

"Pasar ini tidak seharusnya hanya memainkan peranan sebagai menyedia barangan keperluan harian tetapi perlu dijadikan mercu tanda kepada para pelancong.

"Semua bandaraya utama di dunia ini mempunyai keunikan pasarnya yang diperkenalkan untuk industri pelancongan seperti Queen Victoria Market di Australia. Pasar Besar di sini mempunyai potensi sama untuk dikembangkan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan Tinjauan Mesra di Pasar Besar Kota Kinabalu sempena Tahun Baharu Cina 2019, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pasar besar di sini turut menawarkan pemandangan menghadap laut yang cantik. Keindahan seumpamanya boleh dijadikan daya tarikan kepada para pelancong khususnya dari China.

Bagaimanapun katanya, cadangan untuk tujuan itu masih dalam peringkat awal perancangan selain menunggu peruntukan Ahli Parlimen bagi 2019.

"Kita akan memberikan wajah baharu pasar besar ini, tetapi ia juga bergantung kepada pihak DBKK kerana peruntukan khas untuk pembangunan itu turut terletak di tangan pihak berkuasa tempatan itu.

"Antara rancangan untuk pembaharuan pasar itu adalah menaik taraf sistem penggunaan kipas, menambah lampu-lampu yang berkilauan pada papan tanda pasar besar dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Chan turut mengucapkan tahniah kepada Mayor DBKK yang baharu Datuk Nordin Siman dengan keputusannya untuk tidak meningkatkan sewa ruangan di kaki lima atau ruangan legar kedai kepada penjaja.

Katanya, pengumuman itu boleh diumpamakan sebagai hadiah tahun baharu kepada semua pihak terlibat.

"Untuk isu larangan merokok, saya menyeru kepada rakyat agar tidak bimbang mengenai perkara ini kerana kompaun untuk kesalahan itu tidak akan dikenakan dalam tempoh enam bulan pertama perlaksanaan kerana ia masih di peringkat untuk 'mendidik'," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak ingin menolak arahan daripada kerajaan Pusat sebaliknya hanya inginkan Enakmen dalam negeri ini selari dengan arahan diberikan.

Hadir sama dalam tinjauan mesra itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas Tan Lee Fatt.

  • oleh
  • Advertisement