Anda di sini

LHDN kutip RM10.1 juta

Advertisement
SHAFIE (duduk, kanan) berbual dengan Hajam (kiri) ketika kunjungan hormat LHDN ke pejabat rasmi Ketua Menteri di PPNS, pada Jumaat.
SHAFIE (duduk, kanan) berbual dengan Hajam (kiri) ketika kunjungan hormat LHDN ke pejabat rasmi Ketua Menteri di PPNS, pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah merekodkan seramai 156 pembayar cukai melaporkan pendapatan secara sukarela melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) sejak dilancarkan November tahun lepas.

Pengarahnya Datuk Hajam Lajah Alam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10.1 juta kutipan cukai berjaya dikumpul.

"Sejak PKPS dilancarkan, terdapat lima kategori yang ditawarkan sudah melaporkan diri kepada kami iaitu pembayar cukai tidak berdaftar dan pembayar cukai berdaftar tetapi tidak lapor pendapatan.

"Selain itu, pembayar terkurang melapor pendapatan, pembayar cukai yang lapor keuntungan pelupusan aset, dan gagal menyetemkan surat cara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pembayar cukai hadir ke pejabat LHDN bagi membuat pengakuan secara sukarela pendapatan masing-masing sepanjang program PKPS berlangsung sehingga 30 Jun tahun ini.

Katanya, setiap laporan pembayar cukai akan diterima secara terbuka tanpa membangkitkan apa-apa prejudis.

Katanya lagi, selepas tempoh berkenaan, kadar penalti asal akan dikenakan iaitu antara 80 peratus hingga 300 peratus bermula 1 Julai depan.

Terdahulu, Hajam bersama rombongan sempat beramah mesra dan memberi taklimat kepada Ketua Menteri.

Menurutnya, selain menerangkan berkaitan program khas berkenaan, beliau turut memaklumkan pelantikannya sebagai Pengarah LHDN Sabah baharu berkuatkuasa 1 Januari lepas.

  • oleh
  • Advertisement