Anda di sini

Kerajaan lulus RM100,000 untuk PBPM

Advertisement
BARISAN Ahli Jawatankuasa PBPM merakam gambar kenangan bersama dengan Shafie ketika kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di  Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
BARISAN Ahli Jawatankuasa PBPM merakam gambar kenangan bersama dengan Shafie ketika kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di  Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan awal RM100,000 sebagai dana perbelanjaan pengurusan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di negeri ini.

Presiden PBPM Hussin Awang Ngah berkata, pemberian dana itu membuktikan kerajaan baharu ini amat mengambil berat perjalanan dan kegiatan persatuan itu.

"Saya bagi pihak PBPM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana sanggup mendengar rintihan daripada semua pesara polis yang seolah-olah terbiar sebelum ini.

"Daripada dana ini, kita akan membuat pembahagian kepada cawangan-cawangan  PBPM di Sabah untuk pengurusan pentadbiran mereka seterusnya aktiviti kebajikan," katanya kepada media selepas membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Jumaat.

Dalam kunjungan itu, Hussin bersama barisan rombongan turut mengemukakan cadangan 11 resolusi dalam usaha mengenang jasa serta khidmat pesara-pesara polis di negeri ini.

Katanya, antara intipati resolusi itu seperti pemberian geran tahunan dan perumahan pesara polis, memandangkan masih ramai pesara dan balu polis di luar masih tidak memiliki kediaman tetap.

"Kita amat mengambil serius akan perkara- perkara ini bagi mengenang jasa pesara- pesara yang sudah menabur bakti yang banyak berkhidmat di negara ini.

" Alhamdulillah, Yang Berhormat (Mohd Shafie) menyambut baik dan akan mempertimbangkan cadangan resolusi kami meskipun negara berhadapan masalah kewangan selepas beliau mengambil alih ketika keadaan negara masih keberhutangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PBPM akan mengadakan program jerayawara 'Sayangi Malaysiaku'  di seluruh negeri bermula 28 Februari depan.

Katanya, program berkenaan akan menyasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah bagi menanamkan disiplin diri serta semangat cintakan negara.

Setakat ini, PBPM Sabah mempunyai keahlian hampir 6,000 daripada jumlah keseluruhan seramai 140,000 dari 240 buah cawangan di setiap ibu pejabat polis daerah.

PBPM adalah satu- satunya persatuan yang bernaung di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang paling besar dan diiktiraf oleh kerajaan.

Terdahulu, hadir sama ialah Pengerusi PBPM negeri Sabah Awang Kassim Awang Gemok.

  • oleh
  • Advertisement