Anda di sini

Ancaman rabies ditangani

Advertisement
JAWATANKUASA pelaksana kempen bersama Dr.Lorren, Dr Mohammad Jamil dan Tan.
JAWATANKUASA pelaksana kempen bersama Dr.Lorren, Dr Mohammad Jamil dan Tan.

LAHAD DATU: Langkah pencegahan akan terus digiatkan di Tawau dan Lahad Datu dari ancaman penyakit rabies bawaan haiwan liar dari kawasan positif penyakit itu.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Tawau, Dr Lorren Adam berkata menyedari ancaman penyakit itu amat terdedah di kawasan sempadan terutama di Kalabakan dan Tungku, tumpuan operasi pemantauan akan dilaksanakan di sana.

"Bagi daerah Kalabakan, ada kawasan jaraknya lebih kurang 30 kilometer (km) dari sempadan Sarawak dan ianya meletakkan radius 30 km itu sebagai positif rabies.

"Demikian juga di Pulau Sebatik yang berkongsi pulau dengan Indonesia yang juga merupakan antara kawasan positif penyakit itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Penstrilan Haiwan Terbiar anjuran Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Sabah (SPCA) Lahad Datu, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, di Lahad Datu kawasan tumpuan ialah di Tanjung Labian, Tungku yang berdekatan dengan sempadan Filipina yang boleh diancam merebaknya Rabbies melalui jangkitan bawaan haiwan liar anjing, kucing dan lain-lain.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, pemeriksaan akan diteruskan dalam masa terdekat bermula Januari bagi menghalang menularnya penyakit itu ke Sabah.

Dr Lorren memuji usaha yang dilakukan SPCA Lahad Datu yang mengambil langkah drastik selaku Badan Bukan Kerajaan dengan membantu kerajaan memainkan peranan tersendiri mengawal penularan Rabbies ke Sabah khususnya ke Lahad Datu.

"Saya amat berharap agar aktiviti seumpama ini tidak akan terhenti di sini sebaliknya diperkembangkan lagi kerana usaha murni ini amat diperlukan terutama untuk membela haiwan-haiwan terbiar tanpa tuan.

"Melalui aktiviti ini, haiwan terbiar dapat diselamatkan dari pelbagai penyakit berjangkit seterusnya menghalang Rabbies merebak," katanya.

Dr. Lorren turut menggesa agar SPCA Lahad Datu terus mendapat kerjasama padu masyarakat di sini dengan membantu mereka menjayakan aktiviti-aktiviti pembelaan terhadap haiwan.

Kempen yang berlangsung sehingga Ahad ini dijayakan dengan kehadiran dan khidmat doktor vetarinar.

Turut hadir Penolong Pengarah Perkhidmatan Veterinar Daerah Lahad Datu Dr. Muhammad Jamil Sabu, Penaung SPCA Lahad Datu Tan Cheng Teng dan Pengerusi Lee Boon Keat.

  • oleh
  • Advertisement