Anda di sini

Penunggang motosikal maut dalam kemalangan

Advertisement
PENUNGGANG motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Merotai-Kalabakan.
PENUNGGANG motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Merotai-Kalabakan.

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut di lokasi kejadian selepas bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Merotai-Kalabakan di sini, kira-kira jam 6.40 petang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata mangsa, Hendra Tahir, 37, seorang pemegang pasport warga Indonesia dan tinggal di Ladang Keruing Luasong Kalabakan.

“Kenderaan pacuan empat roda dipandu oleh seorang lelaki, 33, dan turut dinaiki bersama isterinya, 46, serta dua anak perempuannya yang berumur 10 dan tiga tahun,” katanya.

Fadil berkata pemandu kenderaan itu dan isterinya masih menerima rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Tawau, manakala dua anaknya pula tidak mengalami kecederaan.

Mengulas lanjut, hasil siasatan awal mendapati sebelum kemalangan terbabit berlaku, mangsa dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Bombalai menuju ke Kalabakan.

“Kenderaan pacuan empat roda dari arah Kalabakan menuju ke klinik di Bandar Tawau, namun secara tiba-tiba merempuh motosikal mangsa apabila tiba di lokasi kejadian.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terheret sejauh kira-kira 29 meter sebelum tercampak ke bahu kiri jalan menuju Kalabakan bersama motosikalnya,” katanya.

Menurutnya, kenderaan pacuan empat roda terbabas ke dalam parit yang berkedalaman kira-kira 1.5 meter dan bergerak sejauh kira-kira 27 meter dari lokasi mangsa tercampak.

Beliau berkata kejadian itu disyaki berpunca akibat pemandu pacuan empat roda tidak dapat melihat kehadiran mangsa kerana lampu hadapan motosikalnya tidak berfungsi.

“Namun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Insp Norhafizah Hussin,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement