Anda di sini

Penganjur fiesta buat laporan polis

Advertisement
ROBERT (tengah) serta jawatankuasa penganjur tampil di IPD Tawau untuk membuat laporan polis.
ROBERT (tengah) serta jawatankuasa penganjur tampil di IPD Tawau untuk membuat laporan polis.

TAWAU: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.190 Tawau tampil membuat laporan polis di IPD Tawau di sini pada Rabu, susulan tindakan sekumpulan pihak yang mendakwa mewakili masyarakat muslim di daerah ini.
 
Isu terbabit berkaitan bantahan sekumpulan masyarakat muslim yang khuatir dengan penganjuran majlis sambutan Fiesta Ambang Tahun Baharu 2018, anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau dengan kerjasama Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
 
Jurucakap penganjur Robert Penggai, berkata pihaknya selaku jawatankuasa penganjur menyifatkan bantahan terbabit sebagai tidak berasas, serta boleh menimbulkan kekeliruan dan ketegangan masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan kaum.
 
“Sambutan Hari Krismas yang diadakan pada 30 Disember lepas adalah perayaan sama yang dilangsungkan di peringkat Negeri Sabah pada 15 Disember dan peringkat kebangsaan pada 29 Disember di Kota Kinabalu.
 
“Kesemua program itu diadakan secara terbuka untuk tatapan umum,” katanya, kepada pemberita semasa ditemui di perkarangan IPD Tawau di sini pada petang Rabu.
 
Robert berkata masyarakat Sabah adalah majmuk, bertoleransi dan saling hormat-menghormati, sehinggakan merayakan perayaan agama lain bukan perkara ganjil.
 
Menurutnya, sambutan ambang tahun baharu 2019 yang diadakan di perkarangan MPT juga menjadi tanda tanya mengenai maklumat yang kumpulan terbabit miliki sehingga membuat bantahan berkenaan.
 
“Sambutan tahun baharu tidak ada pengisian lagu koir atau ucapan dari bishop (tetapi berlangsung semasa sambutan Hari Krismas Peringkat Parlimen Tawau).
 
“Nyanyian koir itu didahulukan dengan lagu Negaraku dan Sabah Tanahairku, persembahan tarian kebudayaah kaum Iban dan Orang Ulu, tarian moden, persembahan lagu Krismas dengan iringan penari rebana serta Konsert Krismas oleh Hybrid Band.
 
“Semua program disusun atur sudah dibincangkan dan diperhalusi oleh jawatankuasa yang terbabit sehingga mesyuarat bersama dengan MPT yang turut dihadiri jabatan kerajaan yang lain,” katanya.
 
Beliau berkata program berbentuk hiburan yang mereka anjurkan sangat bersesuaian dan tidak memesong kepercayaan sesiapapun sebagaimana dakwaan kumpulan yang membuat bantahan.
 
Mengulas lanjut, Robert berkata program yang mereka anjurkan juga bukan bersifat keagamaan seperti yang ditohmahkan, malah tergambar dengan kehadiran Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman yang merasmikan sambutan Hari Krismas ketika itu.
 
“Ini bermaksud laporan yang kurang tepat mereka adalah berunsur dan bermotifkan politik serta berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat Tawau.
 
“Dakwaan mereka juga, yang menerima sokongan dari parti seperti Warisan dan PKR juga meleset apabila semua ketuanya dan pemimpin menafikan sokongan terhadap mereka.
 
“Pihak kita menentang sekeras-kerasnya cubaan dan unsur-unsur serta elemen-elemen hasutan sebarang pihak yang mahu memecah-belah dan merosakkan keharmonian, toleransi dan kedamaian serta sifat hormat-menghormati semua bangsa,” katanya.
 
Pada masa, tindakan undang-undang disifatkannya harus diambil terhadap pihak pelampau yang mahu mencetuskan perbalahan dan permusuhan kaum dan agama.

  • oleh
  • Advertisement