Anda di sini

Isu murid belajar bawah khemah bersifat sementara

Advertisement
SESI pengajaran dan pembelajaran murid-murid berjalan seperti biasa meskipun berada di bawah khemah. 
SESI pengajaran dan pembelajaran murid-murid berjalan seperti biasa meskipun berada di bawah khemah. 

TELUPID: Isu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid dekat sini yang belajar di bawah khemah berikutan atap bangunan sekolah rosak adalah bersifat sementara.

Pegawai Pendidikan Daerah Telupid, Mahanin Osman berkata, kerja-kerja penyelenggaraan masih berjalan dan pihaknya akan berusaha agar kelas-kelas yang terlibat boleh diduduki pada minggu depan.

Katanya, ketika ini proses penyelenggaraan berada di peringkat akhir yang mana ia melibatkan struktur bumbung, siling, lantai dan beberapa bahagian lain yang perlu dibaiki.

"Kerja-kerja pembaikan ini mengambil masa yang agak lama. Dan, memang kita sudah jangka pembelajaran hari pertama sekolah ini dalam keadaan sebegini. Ada gangguan sebab kerja pembaikan belum selesai sepenuhnya dan sebab itu kita telah bersedia awal dengan menyediakan khemah untuk sementara waktu.

"Bagaimanapaun, kita sentiasa beri perhatian kepada murid-murid yang belajar di sini. Kita kawal sepenuhnya terutama dari segi pengajaran dan pembelajaran," katanya ketika ditemui media kelmarin.

Mengulas lanjut, Mahanin berkata kerja pembaikan telah bermula sejak satu minggu selepas cuti sekolah tahun lepas bermula.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pembaikan itu siap selepas cuti sekolah tetapi ia memerlukan lagi sedikit masa untuk selesai.

Sementara itu, Guru Besar SK Pekan Telupid, Dominic Nara berkata suasana pembelajaran di sekolah itu berjalan lancar sejak sesi persekolahan dibuka pada Rabu.

Katanya, guru-guru juga tidak mempunyai masalah menguruskan murid-murid meskipun sesi pembelajaran berlangsung di bawah khemah.

"Masalah bangunan sebenarnya tidak membimbangkan bagi guru-guru di sini kerana apa yang penting adalah kami dapat melaksanakan amanah dan tugas dengan sebaik mungkin demi memastikan murid-murid mendapat pendidikan yang terbaik," jelasnya.

Ketika ini, seramai 452 murid dari sesi pagi dan petang belajar di bawah khemah.

Untuk rekod, atap bangunan di tiga buah bangunan SK Pekan Telupid rosak akibat ribut pada 18 Jun tahun lalu.

  • oleh
  • Advertisement