Anda di sini

Ambil tindakan tegas individu timbul sentimen keagamaan

Advertisement
AHZVEENS
AHZVEENS

KOTA KINABALU: Pihak berwajib khususnya kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dalam menangani sentimen keagamaan yang sengaja ditimbulkan individu tidak bertanggungjawab.
    
Timbalan  Presiden Persatuan Bangsa Tombonuo Malaysia Ahzveens @ Hilary Akian berkata, langkah itu penting demi menjaga keharmonian dan kesejateraan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negeri ini
    
“Kenyataan yang dibuat melalui laporan polis di Tawau yang membantah Sambutan Hari Natal di daerah itu, dilihat sebagai satu bentuk anti-perpaduan dan anti-Kristian yang boleh memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang agama di negeri ini.
    
“Perkara 11 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Islam merupakan Agama Persekutuan. Bagaimanapun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
    
“Oleh itu adalah tidak wajar individu berkenaan membantah sambutan Hari Natal di Tawau kerana kita sebagai rakyat Malaysia bebas merayakan dan menyambut setiap perayaan keagamaan termasuk sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
    
Ahzveens berkata, sebelum ini tiada isu bantahan merayakan Hari Natal, oleh itu individu berkenaan seharusnya lebih sensitif terhadap agama agar tidak menimbulkan perasaan kebencian dan menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
    
“Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wahyu Ilahi Management (WIM) membantah Sambutan Hari Natal itu, sangat tidak masuk akal dan tidak boleh diterima oleh rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
    
“Selaku Gen-Y, saya tidak bersetuju dengan tindakan individu berkenaan dan memohon pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan tersebut demi menjaga keharmonian serta kesejateraan rakyat Sabah,” katanya.

Advertisement