Anda di sini

Polis masih siasat kes bom kedai emas di Segama

Advertisement
HABIBI MAJINJI
HABIBI MAJINJI

KOTA KINABALU: Polis masih menjalankan sisatan terperinci berkenaan kes kedai emas yang dibom di Segama pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata setakat ini pihaknya masih belum membuat sebarang penangkapan berikutan pihaknya masih mengenalpasti motif utama kes letupan terbabit.

“Setakat ini kita masih dalam proses mengenalpasti individu atau suspek yang terlibat dalam kes ini selain mengenalpasti motif utama letupan dibuat.

“Masih tiada penangkapan buat masa ini dan satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi tujuan penyiasatan dan kerja lainnya,” katanya semasa ditemui dalam satu program kepolisan di sini pada Rabu.

Kira-kira jam 2.30 pagi pada 31 Disember lalu satu letupan berlaku di pintu kedai emas dipercayai cubaan pecah masuk ke dalam premis berkenaan.

Suspek bagaimanapun tidak sempat masuk ke dalam premis berkenaan kerana melarikan diri selepas letupan dan tiada barangan kemas yang hilang dalam kejadian ini.

Habibi berkata hasil siasatan Unit Pemusnah Bom mendapati letupan berlaku di tepi pintu jeriji dan bahan letupan yang digunakan dipercayai dari bahan sulfur.

Katanya semasa kejadian juga pemilik kedai berada di luar negeri dan peniaga terbabit tidak meletakkan barangan kemas di dalam kedai pada waktu malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Bahan Letupan 1957.
 

  • oleh
  • Advertisement