Anda di sini

Bintulu FA julang Piala Sarawak 2018

Advertisement
__alt__

BINTULU: Skuad Bintulu FA menutup tirai 2018 penuh bergaya apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Sarawak 2018 ADAP 40rty setelah menewaskan PDRM dengan 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Mini Bintulu petang semalam.

Kemenangan itu lebih bermakna buat Bintulu FA menempa laluan bersinar bagi menghadapi cabaran pada tahun baharu 2019.

Kejuaraan itu membolehkan Bintulu membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan dan medal.

Perlawanan akhir menyaksikan Bintulu lebih banyak menguasai permainan dengan beberapa percubaan bahaya dan peluang menjaringkan lebih banyak gol namun beberapa percubaan gagal disempurnakan.

Gol awal Bintulu hadir pada minit ke-27 pada babak pertama melalui Aldridge Dato berjaya menyepak masuk bola yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gawang PDRM.

Dengan gol pembakar semangat itu, seakan-akan tidak puas sebaliknya dalam keadaan cuaca mendung diikuti hujan lebat secara tiba-tiba, Bintulu terus menggandakan asakan.

Usaha mereka berhasil dengan gol kedua pada minit ke-40 seterusnya gol ketiga pada minit ke-43 masing-masing menerusi kapten pasukan, Alexander Jerome berjaya melepasi pemain pertahanan dan penjaga gawang PDRM.

Babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan saling berbalas asakan dan Bintulu terbayang trofi dalam genggamannya berpeluang menambah jaringan namun tidak menemui sasaran.

Begitupun, ketangkasan dan kecekapan penjaga gawang Bintulu, Mohd Sharizad Jamaluddin tidak membenarkan sebarang gol membolosi gawangnya sehingga menidakkan segala percubaan bahaya dan peluang pemain PDRM memecah kebuntuan.

Ketua Jurulatih Bintulu FA, Mohd Farhan Abdullah @ Anai Igang mengucapkan tahniah kepada anak-anak buahnya bermain dengan baik meskipun pada minit awal permainan dalam situasi 50-50 dengan pihak lawan.

“Tetapi, apabila kami mendominasi bahagian tengah, kami mula memimpin perlawanan sehingga menjaringkan gol pertama, kedua dan ketiga,” katanya ditemui selepas perlawanan semalam.

Beliau bersyukur atas rezeki kemenangan Bintulu sempena sambutan tahun baharu 2019 itu serta berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) atas kepercayaan diberikan kepadanya membimbing pasukan Bintulu masa singkat.

Katanya, ini merupakan kejuaraan peribadi kelima beliau pada kejohanan Piala Sarawak dan final ke-10 untuknya membimbing Bintulu merupakan satu rekod cemerlang pernah dicapainya.

Bintulu pernah menggengam trofi itu pada 1992, 2000, 2001, 2003 dan kali terakhir pada 2005.

 Mohd Sharizad (kanan) dari skuad Bintulu FA menerima anugerah daripada Pengiran Daud (kiri) sambil disaksikan oleh Posa (tengah) serta yang lain.
PENJAGA GOL TERBAIK: Mohd Sharizad (kanan) dari skuad Bintulu FA menerima anugerah daripada Pengiran Daud (kiri) sambil disaksikan oleh Posa (tengah) serta yang lain.

Naib juara empat kali pada 1997, 1998, 1999 dan 2002. Empat kejuaraan dan empat kali naib juara pada tahun itu adalah di bawah kendalian Mohd Farhan sebagai ketua jurulatih.

Mohd Farhan membawa Bintulu merangkul kejuaraan Piala Sarawak untuk kali keenam tetapi kali kelima kejuaraan untuk rekod pencapaian peribadinya sepanjang membimbing skuad Bintulu.

Tahun lalu (2017) Bintulu muncul naib juara tetapi di bawah kendalian ketua jurulatih, Zaidel Termidi Suhaili dengan kejuaraan menjadi milik Miri.

Pengurus pasukan Bintulu FA ialah Ahmad Sisi dan penolong ketua jurulatih, Mohd Hamid Ghani.

Hadiah-hadiah pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais dan Timbalan Presiden FAS merangkap penaung Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA), Datuk Pengiran Daud Pengiran Putera.

Turut hadir Setiausaha Agung FAS Jeffery Lana, Presiden BiFA Mohamad Zaifulfadillah Junaidi, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (Miri FA) merangkap Naib Presiden FAS Mohamed Saif Jubaidi, ahli-ahli exco FAS, BiFA serta beberapa pemain legenda Ngap Sayot iaitu Jalil Ramli dan lain-lain.

Selain itu, naib juara (PDRM) membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan dan medal.

Manakala tempat ketiga bersama diraih skuad Mukah dan Serian masing-masing menerima RM5,000, piala iringan dan medal.

Pasukan Fairplay ialah MSN Sarawak, Anugerah Pemain Terbaik menjadi milik Alexander Jerome (Bintulu FA), Penjaring Terbanyak Mohd Nazeri Bohari (Bintulu FA) dengan lima gol dan Penjaga Gol Terbaik diraih pemain Bintulu FA, Mohd Sharizad.

  • oleh
  • Advertisement