Anda di sini

Program MM2H penting dalam pasaran hartanah Sabah

Advertisement

KOTA KINABALU: Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) adalah program penting dalam perspektif pasaran hartanah dan sosioekonomi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, skim itu masih dilaksanakan di negeri ini dilihat penting untuk memberikan peluang kepada potensi pelabur asing datang ke Sabah.

“Apabila mereka datang untuk membeli rumah, sudah pasti segmen hartanah di sini akan berkembang.

“Mereka sekali gus menjadikan mampu menyumbang kepada ekonomi negeri ini. Mungkin kita juga harus meningkatkan usaha untuk mempromosikan MM2H,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Leisure Avenue (MM2H) Sdn Bhd yang diketuai Pengarah Urusannya Anthony Chong di sini baru-baru ini.

Beliau juga berkata demikian susulan daripada laporan media yang menjelaskan Kerajaan Persekutuan telah memberhentikan skim itu di Semenanjung Malaysia.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, MM2H adalah program yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia untuk menarik dan membenarkan pesara serta warga asing untuk memilih negara ini sebagai ‘rumah’ kedua mereka.

Katanya, visa MM2H akan dikeluarkan untuk tempoh 10 tahun dan ianya boleh diperbaharui bagi setiap 10 tahun.

Sementara itu, Anthony berkata Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini turut menghentikan proses permohonan mereka yang berminat untuk menjadikan Semenanjung Malaysia sebagai rumah kedua.

Bagaimanapun katanya, Sabah tidak menerima kesan besar daripada perkara ini dan MM2H berpotensi dikembangkan di sini.

Katanya, beliau bimbang ejen MM2H daripada Semenanjung Malaysia akan datang ke Sabah untuk mencampuri urusan operasi MM2H berikutan pemberhentian skim itu di kawasan mereka.

“Saya fikir keadaan ini tidak adil kepada ejen yang berdaftar di Sabah disebabkan kami tidak dibenarkan ke Semenanjung Malaysia untuk menjalankan perniagaan kami...oleh itu bagaimanakah kita boleh menyelesaikan isu ini?

“Skim itu tidak diperkenalkan dengan cara yang sepatutnya di sini, keadaan ini turut menjelaskan Leisure Avenue yang menjadi penaja rasmi MM2H di Sabah bersama ejen sah yang lain hanya menerima 10 sehingga 15 permohonan setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, Malaysia menjadi destinasi pilihan oleh warganegara China dalam program MM2H. Ia disebabkan daya tarikan buah-buahan yang murah, cuaca baik, berdekatan dengan China selain mempunyai pertuturan bahasa Mandarin.

Katanya, kedatangan pelancong khususnya China ke Sabah tahun depan dilihat akan mampu mempercepatkan lagi skim MM2H kepada warga asing yang berkelayakan.

Advertisement