Anda di sini

NFCP bawa usahawan PKS, desa keluar daripada ‘kepompong’

Advertisement
 Daing Muhamad Fadzli ketika ditemu bual pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) mengenai projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang akan dibangunkan dalam di daerah Jasin, baru-baru ini. — Gambar Bernama
MAJU: Daing Muhamad Fadzli ketika ditemu bual pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) mengenai projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang akan dibangunkan dalam di daerah Jasin, baru-baru ini. — Gambar Bernama
 Daing Muhamad Fadzli menggunakan internet bagi komunikasi dua hala antara  pembekal dan pembeli dari dalam dan luar negara. — Gambar Bernama
LUASKAN PASARAN: Daing Muhamad Fadzli menggunakan internet bagi komunikasi dua hala antara pembekal dan pembeli dari dalam dan luar negara. — Gambar Bernama
 Petugas Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd (Koko Minda) giat melakukan proses pembungkusan produk mereka sebelum diedarkan kepada pengedar, stokis dan rangkaian toko jamu di Perusahaan Kecil dan Sederhana Melaka Halal Hub, Merlimau baru-baru ini. — Gambar Bernama
DIBUNGKUS: Petugas Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd (Koko Minda) giat melakukan proses pembungkusan produk mereka sebelum diedarkan kepada pengedar, stokis dan rangkaian toko jamu di Perusahaan Kecil dan Sederhana Melaka Halal Hub, Merlimau baru-baru ini. — Gambar Bernama

JASIN: Projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilaksanakan di daerah ini, mampu membawa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan desa keluar daripada ‘kepompong’ dan meneroka pasaran global yang lebih luas.

Pengurus Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd (Koko Minda) Daing Muhamad Fadzil Abd Latif berkata kemudahan NFCP, yang memfokuskan kepada penyediaan Internet berkelajuan tinggi, itu bakal menjadi platform untuk usahawan menjadi sebahagian daripada rantaian perdagangan dunia.

“Dengan adanya NFCP ini, kita percaya bukan Koko Minda sahaja, bahkan lebih ramai pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dapat menceburi bidang perniagaan menerusi e-dagang, selaras perkembangan terkini Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan teknologi digital.

“Dari segi impak, ia seiring dengan perkembangan yang diperlukan usahawan kerana kita bukan sahaja memasarkan produk di dalam negara, malah dalam pasaran antarabangsa yang memerlukan capaian Internet yang optimum kerana melibatkan hubungan komunikasi dua hala secara masa nyata,” katanya kepada Bernama.

Pelaksanaan NCFP, yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar, menyasarkan pencapaian garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps.

Peranan utama untuk menjayakan pelan itu diamanahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diteraju menterinya, Gobind Singh Deo, yang ingin melihat kesalinghubungan Internet di Malaysia dapat dinikmati setiap orang di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Gobind Singh dipetik sebagai berkata bahawa pada era digital ini, capaian terhadap Internet bukan lagi merupakan suatu kemewahan, bahkan suatu keperluan dan sebagai alat untuk menjamin kelangsungan hidup.

Pelan itu juga menetapkan sasaran untuk mewujudkan perkhidmatan Internet berkelajuan Gigabit di kawasan perindustraian berimpak tinggi dan strategik terpilih menjelang 2020 dan di semua ibu negeri menjelang 2023.

Daing Muhamad Fadzil berkata komunikasi dua hala dengan para pembekal dan pembeli berpotensi di luar negara sememangnya perlu menggunakan Internet berkelajuan tinggi, termasuk penyertaan dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) iaitu kemudahan dalam talian kepada peniaga-peniaga tempatan untuk menembusi pasaran China.

“Di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub, Serkam di sini misalnya kita hanya mampu menggunakan Streamyx pada kelajuan lapan megabit sesaat (Mbps), sedangkan PKS memang tidak dapat lari dengan pemasaran dalam talian menggunakan laman sesawang e-marketplace serta aplikasi Instagram, Facebook dan Twitter.

“Selain itu, secara ‘offline’ pula kita melantik pengedar, stokis serta rangkaian toko jamu dalam dan luar negara untuk memasarkan produk kita di kawasan masing-masing, dan bagi menjimatkan kos, pertemuan secara tele sidang dengan wakil produk memerlukan kemudahan NFCP tersebut,” katanya.

Menurut beliau pengusaha PKS sememangnya sedar akan pentingnya usahawan desa dengan kemahiran e-Dagang melalui program latihan bersepadu yang telah diaturkan di pe-ringkat negeri dan daerah dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

“Namun tiada makna sekiranya capaian Internet terlalu perlahan, yang mewujudkan halangan. Selagi kekangan itu tidak ditangani, kita tidak boleh pergi jauh. Misalnya di sini kemudahan seperti pusat digital, pusat Internet dan anjung Internet disediakan, namun tiada perkhidmatan Internet.

“Untuk melahirkan K-Ekonomi dan K-Workers (pekerja berpengetahuan) serta pengusaha PKS yang lebih berdaya saing, seiring dengan perkembangan teknologi semasa, negara perlu menyediakan fasiliti yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Daing Muhamad Fadzil berkata pendapatan kasar syarikat berkenaan pada tahun ini dijangkakan pada paras yang sama seperti tahun lepas iaitu sebanyak RM1.8 juta, namun pihaknya optimis dapat meningkatkannya daripada 10 peratus hingga 20 peratus berdasarkan perkembangan niaga 2019.

“Kita menjangkakan Koko Minda mampu mencatat pendapatan kasar sebanyak RM2.5 juta tahun depan menerusi perancangan untuk memasarkan produk berasaskan koko ini ke Turki, dan kita harapkan dengan adanya pelaksanaan NFCP ini, prestasi Koko Minda dapat dilonjakkan lagi,” katanya.

Minuman berasaskan koko dengan campuran herba seperti ginkgo biloba dan pegaga juga mengandungi campuran makanan Sunnah seperti kurma, buah tin, madu dan kismis itu telah terbukti berkesan dalam kalangan pengguna yang telah mengamalkannya.

Produk ini boleh didapati dalam tujuh perisa pilihan iaitu Koko Minda Plus (Original), Koko Minda Plus (Susu Kambing), Koko Minda Plus (Strawberi), Koko Minda Plus (Nanas), Co Collegen Plus, Coco Minda Plus (Papan) dan Coco Minda Plus (Mocha).

Koko Minda yang diasaskan oleh Salim Salleh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu telah beroperasi sejak 2009 dan kini mempunyai kilang di Melaka Halal Hub di sini.

Sehingga kini, Koko Minda berjaya dipasarkan di luar negara termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura. — Bernama

Advertisement