Anda di sini

Lapan kampung bakal dijadikan kampung angkat polis: Habibi

Advertisement

KOTA KINABALU: Sebanyak lapan kampung di daerah Kota Kinabalu bakal dijadikan sebagai kampung angkat polis pada tahun hadapan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan jenayah di kampung terlibat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata usaha itu sebagai kesinambungan kepada program kampung angkat setelah dua kampung dipilih pada tahun ini iaitu Kampung Lokub dan Kampung Pulau Gaya.

Beliau berkata terdapat 132 kampung di daerah Kota Kinabalu yang perlu dipantau dan program kampung angkat itu diharap dapat menurunkan kadar jenayah di daerah ini.

“Pihak polis akan mengenal pasti kampung yang terlibat dengan kegiatan jenayah terutamanya penyalahgunaan dadah, akan dijadikan sebagai kampung angkat. Penduduk kampung juga akan dilantik untuk bekerjasama dengan pihak polis,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Habibi berkata antara aktiviti yang dijalankan dalam program kampung angkat itu ialah sesi dialog bersama penduduk, riadah dan solat berjemaah bagi mereka yang beragama Islam.

Beliau berkata kadar jenayah sepanjang tahun ini telah turun sebanyak 6.57 peratus iaitu daripada 1,522 kes pada tahun lepas kepada 1,422 kes pada tahun ini. — Bernama

Advertisement