Anda di sini

Kekal perpaduan kaum, agama harus jadi azam tahun baharu setiap rakyat

Advertisement
 Abdullah (empat kanan) bergambar bersama pemenang pelbagai pertandingan yang diadakan sempena Program Kemasyarakatan di anjuran PBB dan SABERKAS Maradong.
UNTUK ALBUM: Abdullah (empat kanan) bergambar bersama pemenang pelbagai pertandingan yang diadakan sempena Program Kemasyarakatan di anjuran PBB dan SABERKAS Maradong.

BINTANGOR: Sentiasa mengekalkan perpaduan kaum dan agama harus menjadi keazaman tahun baharu setiap rakyat Sarawak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata, setiap nada dan tindakan mana-mana pihak yang menimbulkan kebencian, buruk sangka serta fitnah harus ditolak rakyat negeri ini.

“Persekitaran yang baik ialah apabila masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama dapat hidup dalam keadaan akrab serta mesra,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Kemasyarakatan anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan SABERKAS Cawangan Maradong di sini, semalam.

Program yang berlangsung sehingga 1 Januari 2019 itu turut mendapat sokongan dalam bentuk peruntukan sumbangan daripada Abdullah.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program berlangsung seperti pertandingan memancing, pertandingan memasak, pertandingan acara sukan (sepak takraw dan futsal), pertandingan ‘Meradong Got Talent’ dan pertandingan ‘Iron Man.’

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, selain perpaduan, rakyat negeri ini juga memerlukan suasana ekonomi yang baik dengan kos sara hidup serta barangan keperluan tidak membebankan.

Beliau berkata, untuk memastikan keselamatan rakyat terjaga, usaha lebih agresif dan serius serta penguatkuasaan tegas amat perlu bagi mengurangkan kadar jenayah.

Bukan itu sahaja ujarnya, sistem pendidikan yang baik tidak sekadar dapat melahirkan generasi warganegara berpendidikan, tetapi juga berakhlak mulia serta mempunyai kesedaran sivik tinggi.

“Kerajaan atau pemimpin politik yang bertanggungjawab akan memastikan perkara-perkara asas berkaitan perpaduan, ekonomi, keselamatan dan pendidikan ini, ditadbir serta dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

“Secara amnya, politik yang sihat dan baik ialah apabila propaganda atau nada kempen diucap atau digunakan banyak ke arah kebaikan, penyatuan dan pembangunan,” katanya.

Justeru ujarnya, rakyat Sarawak tidak harus mudah terperdaya dengan budaya politik jijik dan kasar seperti sedang hebat berlaku di Semenanjung Malaysia, menerbitkan nada-nada perkauman, kebencian agama dan berburuk sangka.

“Amat malang sekali, hasil budaya politik yang rakus, berakal cetek dan berjiwa jahat, seorang penjawat awam, seorang anggota bomba yang datang untuk menjalankan tugas membantu masyarakat dicederakan hingga parah, akhirnya terkorban dalam keadaan menyedihkan.

“Kita tidak mahu keadaan seperti ini berlaku di Sarawak,” katanya sambil menambah, pemimpin politik dari Semenanjung Malaysia yang cenderung atau sentiasa bercakap dengan nada atau mesej kebencian serta berburuk sangka mesti disekat daripada memasuki Sarawak.

Pada masa sama, Abdullah menggesa rakyat Saarawak bersatu sehati sejiwa menyokong usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berunding dengan kerajaan persekutuan menuntut hak serta kepentingan Sarawak mengikut peruntukan perlembagaan serta termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Advertisement