Anda di sini

Bot nelayan ditahan atas kesalahan menangkap ikan dalam kawasan larangan

Advertisement
HASIL-hasil tangkapan yang dirampas.
HASIL-hasil tangkapan yang dirampas.

KOTA KINABALU: Sebuah bot nelayan pukat tunda tempatan telah ditahan perairan Teluk Tanjung Dalit oleh bot peronda Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Zon Kota Kinabalu.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, kejadian berlaku pada jarak lebih kurang 1.14 batu nautika selatan Teluk Tanjung Dalit pada 26 Disember jam lebih kurang 9.30 malam. 

“Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang tekong bersama empat orang awak-awak warganegara Indonesia berada di atas bot itu dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di bawah 6 batu nautika.

“Selain itu, mereka juga didapati melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) kerana mempunyai peralatan keselamatan tamat tempoh dan tidak lengkap. 

"Bot itu ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, tangkapan itu adalah hasil daripada pemantauan berterusan yang dilakukan ke atas kawasan tumpuan (hotspot) yang mana aktiviti seumpamanya sering dilakukan oleh bot-bot nelayan yang ingkar dan telah mengabaikan peraturan-peraturan ditetapkan. 

"Aduan awam juga salah satu daripada maklumat yang amat diambil berat oleh pihak kami agar tindakan segera dapat dilakukan bagi membenteras perkara seumpama ini.

"Komuniti maritim diingatkan agar sentiasa peka dan mengambil berat terhadap aspek keselamatan khususnya pemilik bot agar peralatan keselamatan yang dimiliki dan dibawa tidak tamat tempoh dan tidak melanggar syarat - syarat seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau turut menyeru kepada orang ramai untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kadar segera menerusi talian 088 270 165 atau MERS 999 untuk tindakan segera sekiranya berlaku kecemasan ataupun mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku jenayah di laut.

  • oleh
  • Advertisement