SANDAKAN: Rondaan bersama dan pertemuan dengan Tentera Laut Filipina (TLP) menerusi inisiatif Trilateral Maritime Patrol (TMP) akan diteruskan untuk memudahcara pertukaran maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan negara terlibat.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan berkata kepentingan meneruskan inisiatif itu adalah berdasarkan beberapa insiden penculikan dan cubaan rompakan yang berlaku di perairan pantai timur Sabah baru-baru ini.
Kenyataan itu berkata di samping dapat menurunkan kadar jenayah rentas sempadan dan mengekalkan kestabilan keselamatan maritim, inisiatif rondaan bersama TMP juga menjadi salah satu medium bagi kedua-dua angkatan laut yang mewakili negara masing-masing untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala serta memperoleh manfaat daripada perkongsian ilmu dan latihan bersama yang dijalankan.
Untuk rekod, sepanjang tahun ini, sebanyak 20 siri pertemuan di laut telah dilaksanakan oleh TLDM bersama TLP dan program seumpama ini diharap dapat diterus serta dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.
Pada Khamis, Kapal Diraja Sri Gaya (KD Sri Gaya) milik TLDM sekali lagi melaksanakan program TMP bagi Siri Ke-20 (2018) yang juga merupakan siri yang terakhir bagi tahun ini.
Inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina kali ini melihatkan KD Sri Gaya yang telah melaksanakan pertemuan bersama kapal TLP, BRP Anastacio Cacaroyin (PC 387) di sekitar garis sempadan maritim di antara kedua-dua buah negara.
Kedua-dua buah kapal itu melaksanakan rondaan di kawasan perairan negara masing-masing dan telah membuat pertemuan untuk Inisiatif Bertukar Maklumat (IBM).
Dalam program itu, KD Sri Gaya yang diperintah oleh Leftenan Komander Mohd Nor Fazli Mat Hassan telah bertemu dengan BRP Anastacio Cacaroyin yang diperintah oleh Leftenan Komander Ignacio M Umali.
Kedua-dua pasukan pemerintah kapal telah mengadakan perbincangan operasi yang mana perkongsian maklumat dilakukan khususnya dalam mengenal pasti kawasan tumpuan (hot spot) serta perancangan latihan dilaksanakan.
Selain daripada itu, kedua-dua kru kapal turut mengadakan aktiviti crossdeck yang melibatkan lawatan ke tempat kerja masing-masing bagi mengenali tatacara dan prosedur yang diguna pakai oleh TLDM dan TLP.
Usaha ini akan memantapkan lagi persefahaman di antara anggota TLDM dan TLP serta memberi peluang kepada mereka untuk mengenali rakan sejawat yang akan beroperasi bersama.
Di bawah program TMP, pertemuan ini merupakan yang pertama bagi kedua-dua buah kapal.
Inisiatif TMP melalui program TCA yang telah dilancarkan pada Jun tahun lalu telah menghasilkan impak yang memberansangkan khususnya dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Inisiatif rondaan TMP dilihat dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Dalam pertemuan itu, latihan bersama di laut turut dijalankan termasuk Manuvra Taktis (MANTAK), Pemindahan Tali Balingan, Latihan Menggeledah serta 'Rescue and Assistance Fire Fighting' apabila KD Sri Gaya disimulasi mengalami kejadian kebakaran dan telah diberikan bantuan oleh BRP Anastacio Cacaroyin.
Kesemua latihan itu bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran warga kapal serta interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.