Anda di sini

Pertandingan golf penutup 2018 di DGCC pada Sabtu ini

Advertisement
 Soedirman (kiri) menerima cenderamata daripada Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain (tengah) dan disaksikan oleh Roslan semasa majlis yang diadakan di DGCC, baru-baru ini.
TANDA INGATAN: Soedirman (kiri) menerima cenderamata daripada Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain (tengah) dan disaksikan oleh Roslan semasa majlis yang diadakan di DGCC, baru-baru ini.

KUCHING: Pertandingan golf akan diadakan di Damai Golf & Country Club (DGCC) pada Sabtu ini dan orang ramai dijemput untuk mengambil bahagian dalam acara penutup 2018 di kelab itu.

Menurut Pengurus Besar DGCC, Roslan Mohd Salleh pertandingan itu diadakan atas permintaan dari ahli ahli kelab dan juga mereka yang bukan ahli.

“Pertandingan ini dibuka kepada pemain yang memiliki handikap NHS index 22.3 dan ke bawah dan yuran penyertaan termasuk bayaran padang, buggy, majlis makan tengahari dan penyampaian hadiah serta cabutan tiket bertuah.

“Acara ini juga memberi peluang kepada para pemain untuk bermain golf sebelum menyambut kedatangan Tahun Baharu 2019,” kata Roslan.   

Format pertandingan ialah mengunakan kiraan pukulan atau ‘stroke play’ dan terdapat pelbagai hadiah disediakan untuk para pemenang.

DGCC turut mengemaskini jadual acara-acara golf yang bakal diadakan tahun depan dan terdapat banyak pertandingan yang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa akan turut diadakan di situ.

Sementara itu, Roslan memberi penghormatan kepada Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (PPKS) iaitu Datu Soedirman Aini yang bakal bersara pada Januari tahun depan.

Menurut beliau, Soedirman telah banyak membantu serta menyumbang kepada pembangunan DGCC sepanjang enam tahun bertugas.

“Bagi pihak DGCC, kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Datu Soedirman atas bimbingan serta sokongan yang diberikan kepada kami terutama dalam usaha membangunkan lagi mutu padang golf di kelab ini,” kata Roslan.

Menurutnya lagi, dengan adanya kerja kerja menambah baik di DGCC maka kelab itu dapat menjadi gelanggang kejohanan bertaraf dunia seperti Kejohanan Golf Antarabangsa Sarawak 2018 yang telah menjadi salah siri dalam Jelajah Asia (Asian Tour).

Selain daripada itu, kelab itu juga menjadi gelanggang rasmi Kejohanan Golf PGM-MNRB Sarawak 2018 iaitu salah satu siri dalam Jelajah Pembangunan Asia (Asian Development Tour).

“Dengan sokongan daripada Datu Soedirman, kelab DGCC telah menjadi tuan rumah untuk lebih daripada 300 pemain professional dari seluruh dunia yang turut berentap dalam dua kejohanan bertaraf dunia itu,” kata Roslan.

“Kami mengucapkan selamat bersara kepada Datu Soedirman dan semoga beliau akan terus tetap bermain di sini pada bila bila masa,” tambah beliau.

Advertisement