Anda di sini

Hukuman sebat perlu dikenakan semua majikan menggaji PTI

Advertisement
MUSTAFAR (tengah) ketika sidang media itu, turut kelihatan ialah Musa (kiri).
MUSTAFAR (tengah) ketika sidang media itu, turut kelihatan ialah Musa (kiri).

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan hukuman sebat perlu dikenakan kepada semua pesalah-pesalah khususnya majikan yang menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin (PTI).

Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata, berdasarkan undang-undang sedia ada, hukuman seumpamanya memang sudah ada dan telah dilaksanakan cuma ianya masih kurang diamalkan.

"Kita kini memberikan penekanan bahawa hukuman sebatan ini diberikan kepada majikan yang degil bagi memastikan wujudnya unsur pengajaran.

"Tahun ini seramai dua orang majikan dari seluruh negara didapati bersalah telah dikenakan hukuman sebatan berbanding tahun lalu hanya seorang," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis Perhimpunan Setia Bersama Jabatan Imigresen Malaysia, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya sudah bertemu dengan Ketua Hakim Negara bagi membincangkan perkara itu. Walaupun terdapat pihak mempunyai persepsi bahawa hukuman seumpamanya zalim, tetapi ianya hanya mengikut undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun katanya, terpulang kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman itu kepada para pesalah khususnya dalam soal majikan yang melanggar undang-undang, kedaulatan dan keselamatan negara.

"Sepanjang tahun ini seramai 62 majikan di Sabah telah ditangkap daripada sejumlah 1,400 di seluruh negara. Kesemua mereka telah dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

"Selain itu, setakat semalam (malam Khamis) sebanyak 1,371 operasi telah dilaksanakan oleh pasukan kita di premis-premis, ladang-ladang dan pelbagai lokasi.

"Ia melibatkan seramai hampir 27,000 warga asing telah diperiksa dan lebih 4,800 PTI telah ditangkap," katanya.

Sementara itu katanya, di seluruh negara pula seramai 47,500 PTI telah ditangkap melibatkan 119,000 warga asing yang diperiksa. Ia adalah hasil daripada hampir 14,500 operasi yang dilaksanakan.

Katanya, untuk Sabah setakat tahun ini sahaja hampir 12,400 PTI berjaya ditahan dan telah diusir ke negara masing-masing.

"Ia melibatkan hampir 9,800 dari Filipina dan 2,355 warga Indonesia. Kita juga telah bertemu dengan pihak konsulat masing-masing bagi memastikan proses pengusiran ini dapat dilakukan dengan segera.

"Keseluruhan di Semenanjung dan Sarawak pula, seramai lebih kurang 8,500 PTI masih dalam pusat tahanan atau depo Imigresen. Usaha mengusir ini terpaksa dilakukan segera bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan terhadap tahanan itu," katanya.

Dalam pada itu, Mustafar turut mengingatkan semua kakitangan jabatan itu agar menjadikan integriti sebagai budaya amalan kerja setiap hari.

Hadir sama dalam majlis Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Musa Sulaiman.

  • oleh
  • Advertisement