Anda di sini

Tiga beranak terlibat kemalangan 

Advertisement
KEADAAN kereta yang remuk di bahagian depan tepi kiri akibat terlanggar kereta pacuan 4X4 yang diparkirkan di bahu jalan di KM58 Jalan Beluran-Telupid menyebabkan dua kanak-kanak cedera. – Foto IPD Beluran. 
KEADAAN kereta yang remuk di bahagian depan tepi kiri akibat terlanggar kereta pacuan 4X4 yang diparkirkan di bahu jalan di KM58 Jalan Beluran-Telupid menyebabkan dua kanak-kanak cedera. – Foto IPD Beluran. 

BELURAN: Gara-gara ibu mengantuk ketika memandu, dua anaknya yang masing-masing berumur 7 dan 10 tahun mengalami kecederaan dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 58 Jalan Beluran-Telupid melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan pacuan empat roda (4X4), pada Khamis. 

Pemangku Ketua Polis Daerah (KPD) Beluran, ASP Kamaruddin Ambo Saka berkata dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 11 pagi itu, pemandu kereta, Lai Su Fun, 43, dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Sandakan.

“Ketika kejadian, kereta pacuan 4X4 di parkir di bahu kiri jalan kerana sedang melakukan pembaikan pengkabelan elektrik. 

“Kereta tersebut diletakkan di bahu jalan dan tidak mengganggu jalan di laluan utama (jalan aspal) yang mana kepala kenderaan menghala ke arah Beluran,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah Kota Kinabalu yang dipandu seorang wanita bersama dua anaknya telah hilang kawalan kemudian masuk ke bahu jalan dan terlanggar kereta pacuan 4X4 itu di bahagian belakang.

Menurutnya, impak rempuhan itu menyebabkan kereta dipandu wanita itu remuk di bahagian tepi kiri dan cermin hadapan pecah, manakala kereta pacuan 4X4 turut mengalami kerosakan akibat rempuhan itu.

“Ketika kejadian, pemandu dan penumpang kenderaan pacuan 4X4 tidak berada dalam kereta kerana sedang melakukan kerja-kerja pembaikan pengkabelan elektrik di dalam hutan di kawasan ladang sawit berhampiran,” katanya. 

Kamaruddin berkata, punca kemalangan adalah disebabkan pemandu kereta itu mengantuk kerana memandu tanpa henti dari Kota Kinabalu menyebabkan keretanya terbabas lalu melanggar kereta pacuan 4X4 yang diletakkan di bahu jalan di lokasi kejadian.

Katanya akibat kemalangan itu, kedua-dua anak pemandu kereta itu mengalami kecederaan dan dibawa oleh ambulan untuk menerima rawatan di hospital daerah Beluran.

Sehubungan itu, pihak polis (IPD Beluran) menasihatkan pengguna jalan raya khususnya para pemandu agar lebih berhati-hati dan tidak memandu dalam keadaan mengantuk atau keletihan, sebaliknya perlu berehat seketika sebelum meneruskan pemanduan demi mengelakkan kemalangan.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis turut menasihatkan semua pemandu yang menggunakan laluan jalan raya Sandakan-Beluran-Telupid agar lebih berwaspada dan berhati-hati ekoran keadaan jalan yang rosak dan berlubang-lubang di laluan tersebut. 

  • oleh
  • Advertisement