Anda di sini

ABIM Negeri Sarawak jayakan jerayawara syarahan pengukuhan akidah

Advertisement
 Ahli ABIM Negeri Sarawak merakamkan gambar kenangan bersama Dr Mohd Arip pada program Jerayawara Syarahan Pengukuhan Akidah menerusi Penghayatan Sains dan Al-Quran di Kuching, baru-baru ini.
JERAYAWARA: Ahli ABIM Negeri Sarawak merakamkan gambar kenangan bersama Dr Mohd Arip pada program Jerayawara Syarahan Pengukuhan Akidah menerusi Penghayatan Sains dan Al-Quran di Kuching, baru-baru ini.

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak baru-baru ini mengadakan program Jerayawara Syarahan Pengukuhan Akidah menerusi Penghayatan Sains dan Al-Quran di beberapa lokasi di sekitar bandar raya Kuching.

Antara lokasi yang dimaksudkan termasuk Sekretariat ABIM Sarawak, Taman Sri Wangi dan masjid-masjid di sekitar Kuching.

Objektif penganjuran program bertujuan untuk meuar-uarkan kepada masyarakat umum  tentang peranan ABIM selain menerangkan kepada mereka tentang sunnah Nabi SAW dan manfaatnya yang terbukti dalam kajian sains mutakhir.

Ia juga bertujuan untuk memaklumkan orang ramai tentang penemuan terkini berkaitan perkhabaran agung mengenai Nabi Muhammad SAW sejak zaman purbakala sekali gus melatih generasi muda dalam menguasai teknik motivasi dakwah melalui penerangan dan pembuktian saintifik.

Pembicara khas untuk jerayawara itu ialah mantan Profesor Madya di Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Arip Kasmo yang juga penyusun modul ‘Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains dan al-Quran al-Karim’ (PASAK).

Selain itu, aktiviti berbentuk kuliah Maghrib khas, kuliah subuh khas dan bengkel Daie Muda masing-masing dengan topiknya sendiri turut diadakan sempena jerayawara tersebut.

Dianggarkan lebih 25 peserta dalam kalangan aktivis ABIM Negeri Sarawak yang berusia bawah 35 tahun menyertai bengkel Daie Muda.

Manakala jumlah keseluruhan masyarajat Islam yang menghadiri program selama tiga hari itu ialah kira-kira 500 orang.

Sementara itu, salah seorang peserta jerayawara Aripin Saiman yang ditemui berkata, sesi seperti ini wajar diadakan secara lebih kerap kerana maklumat-maklumat yang disampaikan amat menarik untuk umat Islam mengetahuinya.

“Bukan sahaja kita dapat mengetahui  tentang penemuan terkini Sains Tabi’i yang mengesahkan khabar dan informasi daripada al-Quran tetapi ia turut menggambarkan keindahan agama Islam itu sendiri,” kata Aripin yang juga Setiausaha Masjid Sri Arjuna di Jalan Puncak Borneo di Kuching.

Bagi Rahmatulhuda Khalidi pula berkata, penjelasan tentang sunnah Nabi dan kebaikannya di sisi kajian sains kesihatan membuka mata beliau tentang kebenaran Islam.

“Dulu kita mengamalkan sahaja kerana ia sunnah dibuat Nabi tetapi dengan kemajuan sains, ia terbukti menyelesaikan masalah manusia.

“Sebagai contoh, amalan sunnah mentahnikkan anak yang baharu dilahirkan dengan buahan manis seperti kurma rupa-rupanya mampu mengurangkan masalah kekurangan glukosa dalam badan bayi itu, “ katanya.

Manakala, seorang peserta bengkel Daie Muda Shahril Aqmal Baharin menyifatkan pragram jerayawara itu sangat menarik kerana ia membuka minda dan mengukuhkan iman kita kepada kebesaran Allah SWT.

Hadir sama pada jerayawara itu ialah Ahli Jawatankuasa ABIM Pusat Mohammad Fazril Mohd Saleh yang juga pengarah projek berkenaan, Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak Muhd Hazim Azahari  dan Naib Yang Dipertua ABIM  Negeri Sarawak merangkap Koordinatior Mohamad Rahmat Jamali.

  • oleh
  • Advertisement