Anda di sini

PPM Semporna kesan aktiviti bom ikan

Advertisement
SYABU dan barang rampasan lain bersama suspek dibawa ke pangkalan PPM.
SYABU dan barang rampasan lain bersama suspek dibawa ke pangkalan PPM.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya mengesan aktiviti menangkap ikan menggunakan  bahan letupan di kawasan laut Kg Halo di sini, pagi Ahad.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata PPM Semporna yang sedang menjalankan  tugas Operasi Khas Risikan dan Pemantauan di perairan Semporna bertindak pantas setelah menerima maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM). 

"Aktiviti terbabit dikesan setelah mendengar letupan di kawasan berkenaan dan berjaya menahan dua lelaki berumur 30 dan 50 tahun, yang cuba melarikan diri apabila melihat kehadiran bot ronda PPM.

"Pemeriksaan lanjut telah menemui bahan-bahan dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan iaitu satu botol berisi baja ammonia, satu batang detanator, satu kotak mancis kayu dan satu gulung benang berwarna merah," katanya dalam kenyataan medianya di sini pada Isnin. 

Menurutnya, nilai rampasan termasuk perahu dianggarkan berjumlah RM2,009.50 manakala suspek turut ditahan. 

Pajeri berkata dalam operasi yang sama, PPM juga berjaya menahan sebuah bot yang dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki berumur 30 tahun dan turut menjumpai satu paket berisi ketulan hablur putih jernih disyaki dadah jenis syabu," katanya.

Katanya, suspek dan kesemua barang rampasan termasuk bot, enjin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM7,030 ditahan manakala suspek juga akan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Semporna untuk siasatan lanjut. 

SUSPEK bersama barang rampasan kes bom ikan ditahan pihak PPM.
SUSPEK bersama barang rampasan kes bom ikan ditahan pihak PPM.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan kedua-dua kes berjumlah RM9,039.50 dan kesemua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang memperuntukkan hukuman tidak lebih tujuh tahun penjara dan denda tidak lebih RM10 ribu.

"Sementara kesalahan memiliki dadah jenis syabu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(3), yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun, denda RM100 ribu atau kedua-duanya sekali," katanya.

  • oleh
  • Advertisement