Anda di sini

Penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan tidak terpakai di Sarawak

Advertisement
DR SIM
DR SIM

KUCHING: Penguatkuasaan larangan merokok di semua tempat makan oleh kerajaan persekutuan bermula 1 Januari tahun depan tidak terpakai di Sarawak melainkan Kerajaan Sarawak mengguna pakai polisi baharu tersebut.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata Sarawak mempunyai Ordinan Kerajaan Tempatan sendiri dan polisi baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan perlu diguna pakai oleh Kerajaan Sarawak sebelum dilaksanakan.

Dr Sim turut menegaskan bahawa ini adalah sebahagian daripada autonomi Sarawak meskipun selepas pengumuman oleh Kementerian Kesihatan untuk menguat kuasa larangan merokok bulan depan.

“Sehinga kita mengguna pakai polisi ini, ia tidak terpakai di Sarawak. Kita mempunyai Ordinan Kerajaan Tempatan kita sendiri,” katanya semalam sebagai mengulas mengenai peranan kementeriannya dalam pelaksanaan larangan merokok bermula 1 Januari 2019.

Dr Sim turut mengakui bahawa merokok adalah tidak baik untuk kesihatan tetapi pada masa yang sama menjelaskan bahawa kedai kopi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan.

Jelasnya, larangan merokok tidak akan menjejaskan Sarawak melainkan Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menguna pakai polisi tersebut.

Malaysia dijangka menguat kuasa larangan merokok di semua tempat makan berhawa dingin dan tidak berhawa dingin termasuk restoran, kedai kopi, pusat penjaja terbuka dan gerai kaki lima.

Larangan merokok ini diumumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye ketika forum di Institut Perubatan, Sains dan Teknologi ASEAN di Kedah pada Oktober lepas.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda RM10,000 dan tempat makan yang didapati tidak menguat kuasa larangan ini akan didenda RM2,500.

Advertisement