Anda di sini

Laluan Muan-Kota Kinabalu dibuka

Advertisement
CHRISTINA (empat dari kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Park.
CHRISTINA (empat dari kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Park.

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan Jeju Air kini membuka laluan baharu dari Muan ke Kota Kinabalu sekali gus menjadikannya laluan kedua dibuka selepas Seoul ke negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, Sabah hanya satu-satunya negeri di negara ini berjaya mendapatkan perkhidmatan daripada Jeju Air yang kini berjaya menghubungkan dua bandar utama di Korea Selatan dan Kota Kinabalu.

"Selain itu, bermula pada suku kedua 2019, Jeju Air akan membuka satu lagi laluan baharu dari Busan ke Kota Kinabalu.

"Walaupun kini terdapat syarikat penerbangan lain dari negara sama untuk menghubungkan kedua-dua destinasi ini, tetapi kita ingin berterima kasih kepada Jeju Air kerana memeriahkan lagi laluan ini," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kedatangan pelancong dari Korea Selatan ke Sabah adalah yang ketiga terbanyak. Pada 2017, kedatangan pelancong dari negara berkenaan ke sini mencatat sejumlah 310,802 orang.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 57 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016.

"Sementara, sehingga Oktober lepas, kita telah menerima seramai 267,861 pelancong dari negara berkenaan, ini menunjukkan peningkatan 7.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Dengan terjalin rangkaian hubungan dengan Muan, kita berharap kedatangan pelancong dari negara berkenaan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, Korea Selatan mempunyai populasi lebih daripada 50 juta orang. 

Menurutnya, Sabah hanya perlu mendapatkan satu peratus atau 500,000 orang daripada jumlah itu setiap tahun bagi mencapai sasaran.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Suzaini Sabdin Ghani, Pengurus Jeju Air Cawangan Kota Kinabalu Park Cheon Kyu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

  • oleh
  • Advertisement