Anda di sini

Sepanggar contoh kepelbagaian kaum dan agama

Advertisement
MOHD Azis bergambar kenangan dengan ketua-ketua gereja sempena menjelang perayaan krismas di sekitar Parlimen Sepanggar.
MOHD Azis bergambar kenangan dengan ketua-ketua gereja sempena menjelang perayaan Krismas di sekitar Parlimen Sepanggar.

KOTA KINABALU: Sabah merupakan contoh terbaik dalam penyatuan masyarakat pelbagai kaum serta anutan agama di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, keharmonian, kesepakatan serta menghormati kepelbagaian anutan kaum dan agama menjadikan masyarakat Sabah perlu dijadikan contoh terbaik kepada negeri lain di negara ini.

Katanya, keharmonian ini perlu diperlihara serta dijaga dengan sebaik mungkin sekaligus dapat diwarisi oleh generasi muda di masa depan.

“Inilah kekuatan rakyat di Sabah, semangat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain sangat kukuh, sekaligus mampu mengekalkan hubungan silaturahim demi memastikan kesejahteraan kemakmuran dipelihara sepanjang masa.

“Kita di Sabah sudah terdedah sejak awal dengan keharmonian sebegini. Dalam kalangan keluarga kita telah wujud perkahwinan campur sejak sekian lama menjadikan mereka sangat hormat-menghormati di antara satu sama lain,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan sumbangan peribadi kepada enam gereja di sekitar Parlimen Sepanggar sempena sambutan Krismas, di Dewan Masyarakat Manggatal di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kepelbagaian masyarakat di Sepanggar yang hidup dalam suasana aman dan damai perlu dikekalkan agar Sabah serta Sepanggar amnya menjadi contoh terbaik kepada masyarakat lain di negeri ini.

Advertisement